Shah Alam, 9 Oktober 2025 – Bank Muamalat Malaysia Berhad melalui Wakaf Selangor Muamalat (WSM) telah menyampaikan sumbangan wakaf berjumlah RM419,000 kepada Management & Science University (MSU), Shah Alam.
Sumbangan ini merangkumi sebuah van Mobile Eyecare dan empat (4) mesin pemeriksaan mata bagi menyokong pelaksanaan program kesihatan komuniti oleh MSU.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Jabatan Kewangan Sosial, YBrs. Tn. Hj. Zaharuddin Alias, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Tn. Hj. Anuar Hamzah Tohar, kepada Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid, Presiden MSU. Majlis berlangsung di Dewan MSU bersempena dengan program MySpine Carnival 2025.
Sumbangan ini bertujuan untuk menyokong program diagnosis awal serta intervensi bagi pencegahan buta, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, di samping memperkukuh usaha dalam bidang pendidikan, promosi, dan pengumpulan data penyelidikan. Inisiatif ini turut menyokong pelaksanaan program kesihatan komuniti bersepadu di bawah MSU.
Didoakan semoga para pewakaf Selangor Muamalat terus dikurniakan ganjaran pahala berpanjangan.