Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan

21 November 2025 | SMK Taman Medan, Selangor: Bank Muamalat Malaysia Berhad menerusi inisiatif Wakaf Selangor Muamalat (WSM) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pembangunan pendidikan melalui penyerahan sumbangan wakaf kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan pada 21 November 2025.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YBrs Haji Zaharudin bin Alias, Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, dan diterima oleh YBrs Puan Lily Juliani binti Jaafar, Pengetua SMK Taman Medan.

Turut hadir ialah YBrs Encik Peer Mohamed bin Mohd Kassim, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Taman Medan, serta Ustaz Mohd Azim bin Mohd Saufi, Ketua Seksyen, Jabatan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Melalui inisiatif ini, SMK Taman Medan telah menerima dua (2) unit Smart Board dan empat (4) unit penyaman udara bernilai keseluruhan RM47,860* Sumbangan wakaf ini diharapkan dapat meningkatkan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif, moden dan selesa, sekaligus menyokong usaha sekolah dalam memperkasa kualiti pendidikan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Selepas majlis penyerahan sumbangan, YBrs Haji Zaharudin turut menyampaikan kata-kata semangat dan motivasi kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dalam sesi Program Restu Ilmu. Nasihat dan dorongan beliau diharapkan dapat meningkatkan keyakinan pelajar serta menyuntik semangat untuk menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan berfokus.

Bank Muamalat, melalui Wakaf Selangor Muamalat, akan terus memainkan peranan aktif dalam memajukan sektor pendidikan, kebajikan masyarakat dan pembangunan ummah melalui projek-projek wakaf berimpak tinggi.

Semoga sumbangan wakaf ini memberi manfaat berpanjangan kepada warga SMK Taman Medan dan menjadi pendorong kepada para pelajar untuk terus maju serta berjaya pada masa hadapan.