Wakaf Selangor Muamalat Menyerahkan 2 Unit Smart Board, 9 Set Kerusi dan Meja Agihan Wakalah Zakat SK Lembah Keramat

28 November 2025 | Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) melalui inisiatif Wakaf Selangor Muamalat (WSM) hari ini menyerahkan sumbangan dua (2) unit Smart Board dan sembilan (9) set kerusi meja kepada Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat sebagai usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran dan menyokong integrasi teknologi di sekolah.

Sumbangan bernilai RM24,118.00 ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Zaharuddin bin Alias, Ketua Jabatan Kewangan Sosial BMMB, kepada Guru Besar SK Lembah Keramat, Encik Tuan Ismail.

Dalam majlis yang sama, Bank Muamalat turut mengagihkan wakalah zakat kepada 82 orang pelajar asnaf dengan jumlah keseluruhan RM8,200. Agihan ini bertujuan membantu keperluan kebajikan pelajar serta meringankan beban keluarga daripada golongan yang memerlukan.

Inisiatif gabungan melalui wakaf dan zakat ini diharapkan dapat memberi manfaat menyeluruh kepada murid-murid melalui penyediaan fasiliti pembelajaran moden serta sokongan kebajikan berterusan.

Bank Muamalat kekal komited dalam memperkukuh peranan sosialnya melalui instrumen wakaf dan zakat bagi memberikan impak positif kepada institusi pendidikan serta komuniti.