Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat menyumbang kelengkapan asas untuk 12 buah bilik darjah

Sitiawan, Perak, Rabu 3 Jun: Wakaf Selangor Muamalat menyumbang kelengkapan asas untuk 12 buah bilik darjah berjumlah RM 65,040.00 kepada Sekolah Rendah Islam (SERI) Al-Ummah. Majlis sumbangan ini diadakan di bangunan baru SERI  Al-Ummah, Sitiawan, Perak. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat telah menyerahkan sendiri simbolik sumbangan tersebut kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan SERI Al-Ummah, Tn Hj Mat Salam bin Karnadi.

Wakaf Selangor Muamalat merupakan perkhidmatan berasaskan konsep wakaf oleh Bank Muamalat yang direka khas untuk memberi kemudahan kepada pelanggannya dan orang awam untuk berwakaf. Perkhidmatan ini adalah usahasama yang strategik di antara Bank Muamalat dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)  melalui rangkaian cawangannya di negara ini,

bertanggungjawab bukan sekadar mengumpul malahan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan PWS.

SERI Al-Ummah merupakan sebuah sekolah agama yang telah ditubuhkan pada tahun 2001 dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk). Sekolah ini menyediakan sukatan akademik dan agama secara bersepadu. Sehingga kini ia mempunyai 348 orang murid dan 27 orang guru serta beberapa kakitangan sokongan. Pada mulanya Sekolah ini beroperasi di rumah kedai yang disewa di daerah Manjung, Perak. Semakin hari Sekolah ini menerima pertambahan pelajar kerana prestasi Sekolah yang baik. Memandangkan premis yang disewa sudah tidak mampu menampung pertambahan pelajar, ditambah dengan suasana di sekitar yang tidak sesuai untuk aktiviti pembelajaran, maka lembaga pengurusan Sekolah ini berjaya mendapatkan sebidang tanah untuk membina bangunan satu tingkat untuk Sekolah ini. 

Dalam ucapannya, Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad berkata, “Dengan kos yang sentiasa meningkat, sekolah persendirian dan pusat pengajian seperti ini sangat memerlukan sumbangan bantuan dari segi kos pengurusan, operasi, dan peralatan pembelajaran. Melihat kepada situasi ini, pihak Wakaf Selangor Muamalat berasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya serta amanah para pewakaf, membantu golongan ini dalam memastikan anak bangsa mendapat pendidikan akademik dan agama yang sempurna .”

“Sehingga April tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah melulus dan menyumbang sebanyak RM 5,262,609.56 pada sektor pendidikan, kesihatan dan juga pelaburan. Sumbangan juga telah disalurkan kepada pemohon di negeri Selangor dan di luar Selangor. Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Malah sumbangan ini turut boleh dimanfaatkan oleh golongan bukan Islam. Atas sokongan yang diterima hingga kini akan perkhidmatan wakaf ini, diharapkan agar perancangan bagi menubuhkan pusat pendidikan dan kesihatan wakaf menjadi kenyataan”.Katanya lagi.                

Semua projek Wakaf Selangor Muamalat dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat. Dana-dana ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan yang patuh syariah bagi mengembangkan dana wakaf. Para penyumbang kepada Wakaf Selangor Muamalat adalah layak mendapat potongan cukai sebanyak 7% daripada pendapatan agregat bagi individu dan 10% bagi syarikat.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.