Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat menyumbang peralatan perubatan kepada Hospital Kajang

Kajang, Rabu 28 Okt 2015: Wakaf Selangor Muamalat memberi sumbangan beberapa peralatan perubatan kepada Hospital Kajang, Selangor. Dr Kuldip Kaur A/P Prem Singh, Pengarah Hospital Kajang telah menerima sumbangan tersebut daripada Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat.

Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat (WSM) telah bersetuju untuk menyumbangkan beberapa peralatan perubatan yang keseluruhannya berjumlah RM68,635 kepada Hospital Kajang, Selangor. Peralatan yang disumbangkan termasuk drip stand, oxygen concentrator, syringe pump, dan mesin professional powerheart. Peralatan ini diberi berdasarkan keperluan mendesak oleh pihak Hospital untuk menampung bilangan pesakit yang ramai.

Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad berkata. "Wakaf Selangor Muamalat berharap projek sumbangan ini dapat membantu dalam memberi keselesaan, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menjaga kebajikan pesakit. Selain itu, sumbangan ini diharap dapat memupuk semangat kerjasama di antara Wakaf Selangor Muamalat dengan agensi kerajaan selain dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan".

"Sehingga September tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM 1,643,657.00 dalam bidang kesihatan seperti klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan pelbagai lagi kepada beberapa pusat perubatan di Malaysia yang memerlukan. Selain daripada perubatan, Wakaf Selangor Muamalat juga telah menyumbang di dalam sektor pendidikan,” katanya lagi.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

Hospital Kajang merupakan sebuah hospital kerajaan yang telah ditubuhkan pada tahun 1889. Ia berstatus hospital berpakar Major dengan bilangan katil sebanyak 326 buah. Ia mempunyai sub-kepakaran psikiatri yang dinaiktaraf selain turut memberi perkhidmatan pesakit dalam dan klinik pakar. Pada tahun 2012, Hospital ini telah menyediakan perkhidmatan baru iaitu pakar pergigian keperluan khas dan pakar pergigian pediatrik. Perkhidmatan yang diberi bukan saja kepada penduduk sekitar Hulu Langat malah juga kepada pesakit rujukan dari fasiliti KKM lain, pesakit warga asing, dan juga pesakit 'walk-in'.
     
   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.