Wakaf Updates

Klinik Bergerak Wakaf Selangor Muamalat berkhidmat lagi

Pada 19-23 Januari 2015 Pada 19 Januari, upacara perlepasan atau 'flag off' untuk pasukan klinik bergerak yang terdiri daripada kakitangan Hospital KPJ telah diadakan di perkarangan Hospital Pakar KPJ Damansara, manakala pada 21 Januari, pasukan sukarelawan Wakaf Selangor Muamalat bersama wakil media daripada TV Al-Hijrah telah berlepas ke Gua Musang bersama bantuan keperluan pasca banjir seperti tilam, tikar, almari pasang siap, air minuman bersih dan lain-lain keperluan.

Klinik Bergerak Wakaf Selangor Muamalat dengan pegawai perubatan KPJ telah memulakan khidmatnya pada 21 Januari di penempatan orang asli Pos Tohor dimana seramai 115 pesakit telah di rawati. Pada hari yang sama sukarelawan Wakaf Selangor Muamalat yang baru tiba dari Kuala Lumpur terus bergerak di Kampung Limau Kasturi, diikuti dengan Kampung Bertam. Pemandangan di kedua buah kampung ini sungguh memilukan. Kelihatan rumah-rumah, kenderaan dan jambatan telah musnah akibat bencana banjir.

Keadaan berdebu membuatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan terbabit terdedah kepada penyakit dan boleh menjejaskan kesihatan. Sehingga hari ini bekalan elektrik masih tergendala menyukarkan mereka untuk melakukan aktiviti pembersihan dan aktiviti harian. Penduduk masih ramai yang hanya tinggal di dalam khemah, manakala rumah yang terselamat pula masih diselaputi selut yang tebal. Walaupun mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan, mereka tetap tabah dan redha dengan ujian ini. Dengan kehadiran pasukan sukarelawan Wakaf Selangor Muamalat bersama pasukan rawatan kesihatan Hospital KPJ, penduduk kampung terutamanya kanak-kanak menyambut mesra kehadiran mereka, sekaligus pasukan sukarelawan mengagihkan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk di kawasan terbabit.

Misi bantuan diteruskan pada hari berikutnya. Konvoi klinik bergerak dan sukarelawan telah bergerak ke daerah Dabong yang terletak kira-kira 130 km bandar Gua Musang. Klinik bergerak telah dibuka di Stesyen Keretapi Dabong. Pada hari tersebut, seramai 135 orang pesakit telah diberi rawatan di klinik bergerak. Pada masa yang sama, pasukan sukarelawan Wakaf Selangor Muamalat telah bergerak ke Kampong Biak dan Kampong Kemubu untuk menyampaikan bantuan. Pasukan TV Al-Hijrah turut membuat liputan dan temubual dengan penduduk tempatan.

Klinik bergerak meneruskan khidmatnya lagi pada hari terakhir iaitu 23 Januari dimana destinasi yang dilawati adalah Kampong Kuala Sungai dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Seramai 155 pesakit telah mendapat khidmat kesihatan klinik bergerak ini.

Secara keseluruhannya, seramai 405 orang pesakit telah mendapat rawatan daripada perkhidmatan kesihatan yang diberikan khususnya dari khidmat Klinik Bergerak Wakaf Selangor Muamalat, disampjng bantuan-bantuan kemanusian kepada mangsa-mangsa banjir yang lain.Perkhidmatan klinik bergerak kepada mangsa banjir di Kelantan adalah jariah para pewakaf. Semoga dengan dana Wakaf Selangor Muamalat yang disumbangkan ini terus dinamik agar dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

       
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.