Wakaf Updates

Misi rawatan Klinik Bergerak Wakaf Selangor Muamalat

Pada 10-14 Januari yang lalu, Klinik Bergerak Wakaf Selangor Muamalat telah bergerak ke Gua Musang bagi menyertai misi bantuan kepada mangsa banjir di sana. Misi bantuan Klinik Bergerak ini adalah dengan kerjasama Hospital KPJ Damansara. Seramai 26 orang telah mengikuti misi ini yang terdiri daripada pegawai perubatan, pemandu, dan pasukan pembersihan. Antara kawasan yang dilawati adalah Kg Baru Gua Musang, Kg Limau Kasturi, Felda Aring, dan pos perkampungan orang asli.

Sambutan penduduk terhadap program ini adalah sangat menggalakkan. Sepanjang 3 hari misi berlangsung, pasukan perubatan telah memberi rawatan kepada hampir 300 orang penduduk.

Antara rawatan yang diberikan adalah kes demam, batuk, dan selsema. Ramai pesakit mengalami sakit kulit dan jangkitan kulat berpunca daripada air yang tercemar. Terdapat juga pesakit yang disyaki mendapat penyakit kencing tikus dan terpaksa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Antara kenangan manis sepanjang misi ini ialah lawatan daripada YAB Datuk Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kewangan yang kebetulan turut melawat kawasan Gua Musang yang teruk dilanda banjir. Beliau memuji usaha ini dan berbesar hati dengan komitmen yang diberikan oleh para petugas.

Menurut Dr Rozilah Hamir, pegawai perubatan yang menyertai misi tersebut, keadaan pesakit dan tempat tinggal mangsa banjir sangat menyedihkan. Ramai pesakit sangat memerlukan rawatan kerana klinik kesihatan masih ditutup. Doktor yang bertugas juga turut melawat pesakit di rumah kerana ada sesetengah kawasan tidak dapat dimasuki lori klinik bergerak tersebut. Pasukan mereka menghadapi cabaran ketika memberikan rawatan kerana sesetengah kawasan yang tidak rata menyukarkan mereka untuk memasang meja rawatan. Selain rawatan kesihatan, mereka juga memberi khidmat kaunseling kepada penduduk di situ. Di sebalik kekurangan tersebut, mereka dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada pesakit. Beliau berharap agar misi ini dapat diadakan lagi supaya lebih ramai orang mendapat rawatan kesihatan.

Semoga dengan adanya khidmat klinik bergerak ini, dapat memberi motivasi kepada orang ramai untuk menyumbang kepada Wakaf Selangor Muamalat. Semoga pahala pewakaf akan terus mengalir walaupun pewakaf telah meninggal dunia, insya Allah.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.