Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat menyumbang sebuah van ambulan kepada rumah Ehsan Warga Emas, Kuala Kubu Bharu

Kuala Kubu Bharu, Selasa 22 Sep : Wakaf Selangor Muamalat memberi sumbangan sebuah van ambulan kepada Rumah Ehsan Warga Emas, Kuala Kubu Bharu. Puan Hajah Mariani Mohammed Saad, Pengetua Rumah Ehsan menerima sumbangan tersebut daripada Y.Bhg. Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat. Y.Bhg. Dato’ Hattan juga turut serta menjayakan program tersebut.

Wakaf Selangor Muamalat adalah satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan.

Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor.

Rumah Ehsan merupakan sebuah pusat jagaan untuk warga emas yang didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ia diuruskan oleh kakitangan dan jururawat terlatih dan menempatkan seramai 120 orang warga emas. Majoriti penghuni Rumah ini adalah terlantar dan kerap dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Diharapkan sumbangan van ambulan ini dapat melancarkan operasi Rumah Ehsan dan memberikan keselesaan kepada para penghuni-penghuninya.

Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat (WSM) telah bersetuju untuk menyumbangkan sebuah van ambulan yang bernilai RM168,063 kepada Rumah Ehsan yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Sumbangan ini diberi berdasarkan keperluan para penghuni yang uzur dan terlantar untuk dibawa ke hospital.

Y.Bhg. Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata. "Dengan kos dan taraf hidup yang semakin meningkat, pusat-pusat jagaan warga emas juga memerlukan sumbangan bantuan dari mana-mana syarikat dan badan korporat sama ada dari segi kos pengurusan, operasi dan peralatan perubatan serta bukan perubatan. Melihat kepada situasi ini, Wakaf Selangor Muamalat berasa terpanggil untuk turut menyumbang membantu golongan ini tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama".

"Sehingga Ogos tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM 1,643,657.00 dalam bidang kesihatan seperti klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan pelbagai lagi kepada beberapa pusat perubatan di Malaysia yang memerlukan. Selain daripada perubatan, Wakaf Selangor Muamalat juga telah menyumbang di dalam sektor pendidikan,” katanya lagi.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Dana ini akan diagihkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

Didalam majlis yang sama, Bank Muamalat turut memberi sumbangan kit keperluan peribadi untuk setiap penghuni Rumah Ehsan. Selain daripada itu, Bank Muamalat turut menyumbang 10 kit PASTI (set lengkap keperluan jenazah) kepada Rumah Ehsan. Di harap dengan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat memudahkan kehidupan seharian para penghuni.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.