Wakaf Updates

WAKAF SELANGOR MUAMALAT MENYUMBANG BANGUNAN AKADEMIK KEPADA SEKOLAH MENENGAH UGAMA (ARAB) DARUL ULUM DINIAH

Tanah Merah, Ahad 8 Mei : Wakaf Selangor Muamalat hari ini menyumbang sebuah bangunan akademik kepada Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Diniah, Padang Siam, Tanah Merah, Kelantan yang bernilai RM468,587. Majlis sumbangan dan perasmian bangunan ini diadakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Diniah, Padang Siam, Tanah Merah, Kelantan. Y.Bhg. Tan Sri Dato' Dr. Mohd Munir Abdul Majid, Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad telah menyerahkan sendiri simbolik sumbangan tersebut kepada YM Hj Tengku Ab Rahman bin Tuan Yunus, Pengarah, Yayasan Islam Kelantan.

Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Diniah ditubuhkan pada tahun 1963. Ia menyediakan pendidikan akademik dan agama kepada

pelajar-pelajarnya. Sekolah ini mempunyai 545 orang pelajar dan 25 orang guru. Kurikulum yang digunakan adalah mengikut kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia dan Yayasan Islam Kelantan. Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat telah bersetuju menyumbang sebuah bangunan baru bagi menggantikan bangunan kayu Sekolah ini yang telah rosak kerana tenggelam dalam banjir pada tahun 2014.

"Sehingga April tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM4,716,169.08 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan." katanya lagi.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.