Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat menyumbang peralatan sekolah kepada Sekolah AL-Fatih Putra Heights

Subang Jaya, Khamis 25 Februari : Wakaf Selangor Muamalat menyumbang beberapa peralatan sekolah kepada Sekolah Al – Fatih Putra Heights. Majlis sumbangan ini diadakan di Sekolah Al – Fatih, Subang Jaya. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat telah menyerahkan sendiri sumbangan tersebut kepada Dato’ Mohammad Fadzllee B Dato’ Sri Mustafa Pengetua Sekolah Al Fatih Putra Heights.

Wakaf Selangor Muamalat menyumbang beberapa peralatan kelas seperti meja belajar, kerusi PVC, papan putih, dan rak buku yang berjumlah RM 40,539.20. Sekolah Al Fatih, Subang Jaya ditubuhkan pada tahun 2010 dan berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam. Sekolah ini mempunyai 137 orang pelajar dari peringkat tadika hingga darjah 6. Silibus yang digunakan adalah di

bawah JAIS dan JAKIM dan menawarkan silibus KAFA untuk pelajar peringkat rendah dan kelas Al-Quran untuk peringkat tadika. Peperiksaan yang ditawarkan pula adalah UPKK (untuk murid tahun 5) dan guru – guru yang mengajar semuanya mempunyai kelulusan Ijazah dan Diploma. Memandangkan keadaan sekolah yang sekarang ini tidak lagi kondusif untuk menjalankan sekolah maka sebuah lokasi baru telah dikenal pasti untuk memindahkan sebahagian operasi agar pelajar – pelajar dapat belajar dengan lebih selesa.

Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad berkata. "Wakaf Selangor Muamalat telah berusia lebih tiga tahun. Dengan saiz dana yang terhad, Wakaf Selangor Muamalat komited mencari penerima yang layak dan berusaha membesarkan dana supaya lebih ramai penerima dapat menerima manfaat wakaf ini. Sumbangan peralatan ini diharap dapat memberi semangat kepada pelajar-pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan berjaya dalam hidup. Selain itu, sumbangan ini dapat mengeratkan hubungan Wakaf Selangor Muamalat dengan agensi bukan kerajaan (NGO) selain dapat menyampaikan amanah para pewakaf".

"Sehingga Januari tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM 3,725,962.75 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.” katanya lagi.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.