Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat Menyumbang Peralatan Perubatan Kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun

Ipoh, Sabtu 20 Mei : Wakaf Selangor Muamalat hari ini menyumbang sebuah mesin rawatan buah pinggang kepada unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak yang bernilai RM151,580.00. Majlis sumbangan dan perasmian bangunan ini diadakan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat bersama beberapa ahli jawatankuasa yang lain.

Sejarah Hospital Raja Permaisuri Bainun bermula pada tahun 1891 sebagai Hospital Daerah dengan dikenali sebagai Hospital Ipoh dengan kapisiti sebanyak 50 buah katil sahaja. Kemudian, Hospital ini dinaiktarafkan sebagai Hospital Negeri pada tahun 1942.

    



Bangunan utama 8 tingkat siap dibina pada tahun 1980. Pembangunan lain termasuk Kompleks Klinik Pakar (tahun 1992) dan Kompleks Rawatan Harian (tahun 2005). Pada Khamis, 12 Jun 2008, nama hospital telah ditukar daripada Hospital Ipoh ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Terkini hospital ini merupakan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang ketiga terbesar selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang dengan kapasiti 990 buah katil, 16 dewan bedah, 16 katil unit rawatan rapi dewasa, 8 katil unit rawatan jantung, 17 katil unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) dan 20 katil unit rawatan neonatal.

Hospital ini menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam semua bidang kepakaran asas dan juga sub kepakaran seperti nefrologi, perubatan respiratori, hematologi, bedah neuro, pembedahan plastik, dan pediatrik surgeri. Perkhidmatan pengimejan dilengkapkan dengan peralatan MRI CT scan dan mesin mammography.

Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat (WSM) telah bersetuju menyumbang sebuah mesin rawatan buah pinggang kepada unit rawatan rapi Hospital ini yang berharga RM151,580. Mesin ini diberi berdasarkan keperluan mendesak oleh pihak Hospital untuk menampung bilangan pesakit yang ramai.

Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad berkata. "Wakaf Selangor Muamalat berharap projek sumbangan ini dapat membantu dalam memberi keselesaan, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menjaga kebajikan pesakit. Selain itu, sumbangan ini diharap dapat memupuk semangat kerjasama di antara Wakaf Selangor Muamalat dengan agensi kerajaan selain dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan".

"Sehingga April tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM7,936,633.56 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.” katanya lagi.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.