Wakaf Updates

Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat kepada UnimapCare Clinic dan Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis

Pada 16 April yang lepas, sebuah majlis penyerahan Wakaf Selangor Muamalat telah diadakan di dewan Kolej Komuniti Perlis, Arau, Perlis. Majlis penyerahan ini diadakan serentak dengan program Kayuhan Amal Bank Muamalat – Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs). Dalam program ini, DYTM Raja Muda Perlis telah berkenan menyertai kayuhan basikal bersama pasukan pengayuh basikal Bank Muamalat Malaysia Berhad melawat asnaf dan rumah jagaan orang tua. Kayuhan basikal tamat di surau Kolej Komuniti Perlis.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh beberapa ahli jawatankuasa pengurusan bersama Wakaf Selangor Muamalat. Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat merupakan sebuah mesin ultrabunyi kepada UnimapCare Clinic yang berharga RM250,000 dan 4 buah mesin dialisis kepada Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra yang berjumlah RM179,928.      



Majlis bermula pada pukul 11 pagi dengan penyerahan simbolik sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abd Rahman Arshad. DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis telah berkenan menyaksikan penyerahan tersebut. Brigadier Jeneral Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Husin, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UnimapCare Clinic Sdn Bhd telah menerima sumbangan bagi pihak UnimapCare Clinic Sdn Bhd. Manakala dari pihak Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra, Dato’ Johari Darus selaku setiausaha pertubuhan pengurusan pusat dialisis Tuanku Syed Putra telah menerima simbolik penyerahan sumbangan.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.