Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat Menyumbang Mesin Dialisis Kepada Pusat Dialisis MAIS, Yayasan Islam Darul Ehsan

Shah Alam, Khamis 26 Oktober : Wakaf Selangor Muamalat hari ini menyumbang 6 buah mesin dialisis kepada Pusat Dialisis MAIS, Yayasan Islam Darul Ehsan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM241,680.00. Penyerahan tersebut diadakan dalam sebuah majlis bertempat di bangunan Pusat Dialisis MAIS di Shah Alam, Selangor. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat bersama beberapa ahli jawatankuasa yang lain.

Yayasan Islam Darul Ehsan merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Objektif utama penubunannya adalah untuk menyalurkan khidmat bantuan dan kebajikan kepada masyarakat Islam di negeri Selangor. Antara inisiatif yang telah diadakan menyediakan khidmat rawatan haemodialisis di beberapa pusat


dialisis MAIS di seluruh negeri Selangor. Mesin dialisis sumbangan Wakaf Selangor Muamalat akan diletakkan di pusat dialisis MAIS cawangan Shah Alam dan Sungai Besar.  

Selain menyediakan rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang, Yayasan ini turut memberi bantuan kepada mangsa yang ditimpa musibah seperti banjir, tanah runtuh, dan kemalangan serta menguruskan hal ehwal berkaitan anak-anak yatim di negeri Selangor.   

Kebanyakan mesin dialisis di Pusat ini telah berusia dan tidak dapat memberi rawatan yang efektif kepada pesakit. Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat bersetuju menyumbang mesin.

Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad berkata. "Wakaf Selangor Muamalat berharap projek sumbangan ini dapat membantu dalam memberi keselesaan, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menjaga kebajikan pesakit. Selain itu, sumbangan ini diharap dapat memupuk semangat kerjasama di antara Wakaf Selangor Muamalat dengan badan-badan kebajikan selain dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan".

"Sehingga Oktober tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM9,458,717.17 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.” katanya lagi.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

 
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.