Wakaf Updates

Ziarah Mahabbah & Majlis Penyerahan Wakaf Selangor Muamalat, Ranau

Ranau, Sabah, Jumaat 10 Mac 2017: Wakaf Selangor Muamalat sekali lagi telah menyebarkan sayapnya ke Sabah dengan sumbangan membaik pulih bangunan sekolah yang retak akibat daripada gempa bumi yang berlaku tahun lepas kepada Sekolah Agama Rakyat Al – Falah bernilai RM 41,000.  Dalam majlis yang sama, Tabung Mawaddah Bank Muamalat Malaysia Berhad turut menyumbangkan kepada pembinaan surau dan bumbung sekolah (boleh digunakan sebagai dewan) bernilai RM 73,082 dan sumbangan 15 buah motor kepada daei-daei di Yayasan Amal Malaysia cawangan Sabah.

Majlis sumbangan ini diadakan di ruang dewan SAR – Al Falah Ranau Sabah. YAD Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes B. Abdul Wahid Ahli Jawatankuasa Wakaf Selangor Muamalat telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengerusi SAR Al – Falah, Mohmad Jeofrey Bin Yussin, bagi pihak Wakaf Selangor Muamalat.



SAR Al – Falah telah mula beroperasi sejak tahun 2005. Pelajar-pelajar adalah seramai 100 orang dari tahun 1 hingga 6. Sekolah ini adalah untuk anak-anak saudara baru yang perlu dibantu dari segi kewangan untuk membeli buku – buku dan keperluan pembelajaran. Dalam ucapan Ustaz Jeofrey, beliau berkata untuk menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini, maka pihak sekolah tidak mengenakan apa-apa yuran kepada anak-anak mereka. Manakala sumber kewangan untuk pengurusan gaji tenaga pengajar serta penyelenggaraan sekolah adalah tanggungjawab pengurus untuk mencarinya melalui sumbangan.

Sebelum Majlis penyerahan berlangsung, rakan NGO Bank, Yayasan Amal Malaysia telah mengaturkan Ziarah Mahabbah di sekitar kawasan Kampung Himbahan Ranau. Pihak Bank Muamalat telah meyumbangkan 70 paket hamper berisi barang – barang keperluan harian untuk penduduk yang kurang bernasib baik di kawasan kampong tersebut. 

Wakaf Selangor Muamalat kini telah berusia lima tahun. Dengan saiz dana yang semakin berkembang, Wakaf Selangor Muamalat sentiasa mengenalpasti penerima yang layak. Di masa yang sama Wakaf Selangor Muamalat giat berusaha membesarkan dana supaya lebih ramai penerima dapat menerima manfaat wakaf ini. Sumbangan ini diharap dapat memberi semangat kepada pelajar pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berjaya dalam hidup. Selain itu, sumbangan ini dapat mengeratkan hubungan Wakaf Selangor Muamalat dengan agensi bukan kerajaan (NGO) selain dapat menyampaikan amanah para pewakaf.

Sehingga Februari tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM 7,301,193.28 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, mesin ultrabunyi, dan lain-lain peralatan perubatan.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.