Wakaf Updates

PEMANGKU RAJA KELANTAN BERKENAN MERASMIKAN WAKAF MAIK MUAMALAT (WMM)

Kota Bharu, Rabu 17 Januari: Pemangku Raja Kelantan, Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, berkenan merasmikan Wakaf MAIK Muamalat di Hotel Perdana, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh wakil pengurusan tertinggi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) dan wakil-wakil Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam  bin Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf MAIK Muamalat bersama ahli-ahli jawatankuasa, wakil badan-badan korporat, dan tetamu jemputan.


Wakaf MAIK Muamalat merupakan kerjasama strategik di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) dalam kutipan dan pengurusan wakaf tunai. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Kerjasama ini akan diurus oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JPB) yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Bank Muamalat dan MAIK. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada sektor pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan ekonomi. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf.

Selain Bank Muamalat, terdapat 5 buah bank Islam lain yang berkolaborasi di bawah seliaan Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) iaitu Affin Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad, dan RHB Islamic Bank Berhad untuk mengutip dana wakaf.

Dato’ Haji Mohd Redza Shah, dalam ucapannya berkata, Bank Muamalat bersedia berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam mengutip dan mengurus dana wakaf bagi kemajuan ummah khususnya di Negeri Kelantan. Seterusnya, jawatankuasa pengurusan bersama yang dilantik akan merangka dan melaksanakan projek-projek wakaf di sektor pendidikan dan kesihatan termasuk pelaburan yang difikirkan sesuai bagi menjana dana wakaf yang sedia ada. Konsep menerima, mengurus, dan mengembangkan harta dalam amalan wakaf dapat membantu membaiki dan menyusun atur sistem ekonomi negara melalui sumbangan hasil wakaf kepada golongan yang memerlukan. Tambahan pula, penyertaan wakaf tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Malah orang bukan Islam boleh menyumbang dan menerima manfaat wakaf.  

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Wakaf MAIK Muamalat melalui saluran yang ditawarkan seperti di kaunter bank-bank yang mengambil bahagian dan juga melalui kemudahan Jompay. Dana wakaf ini akan digunakan untuk membantu masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah agar tahap pendidikan dan kesihatan mereka dapat ditingkatkan. Bank Muamalat tidak akan mengenakan caj terhadap sumbangan yang diterima.

 

 
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.