Wakaf Updates

WAKAF SELANGOR MUAMALAT MENYUMBANG KEPADA PUSAT DIALISIS AR-RAHMAN, BACHOK, KELANTAN

Klang, Ahad 25 Februari : Wakaf Selangor Muamalat hari ini memberi sumbangan 3 buah mesin dialisis kepada Pusat Dialisis Ar-Rahman, Bachok, Kelantan. Keseluruhan sumbangan berjumlah RM138,330.00. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad telah menyerahkan simbolik sumbangan kepada Y.Bhg Prof. Dr. Harmy Mohamed Yussof, Pengerusi Koperasi Amal Medik bersama beberapa ahli jawatankuasa yang lain. Turut hadir ke majlis tersebut wakil –wakil pengurusan Koperasi Amal Medik dan ahli jawatankuasa Pertubuhan Amal Ibnu Sina (PAPISMA). 


Pusat Dialisis Ar-Rahman diuruskan oleh Koperasi Amal Medik Malaysia Berhad. Koperasi ini ditubuhkan di bawah Pertubuhan Amal Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) iaitu sebuah NGO yang dianggotai oleh pegawai-pegawai perubatan. Pusat dialisis ini mula beroperasi pada November 2016. Mempunyai 11 unit mesin dialisis dan 15 orang kakitangan. Seramai 30 orang pesakit menerima rawatan di Pusat ini setiap bulan. Kebanyakan pesakit ditaja JPA, ATM, Perkeso, MAIK dan selebihnya adalah pesakit persendirian.  
 
Pesakit yang menerima rawatan dialisis di sini meliputi jajahan Bachok sehingga ke kawasan berhampiran. Dengan pesakit yang ramai, Pusat ini memerlukan mesin-mesin tambahan supaya dapat memberi rawatan yang efisyen kepada pesakit yang datang. Walaupun Pusat ini berkonsepkan perniagaan, namun keuntungan yang diterima akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan pesakit. Tabung ini bertujuan untuk menampung kos rawatan dan ubat kepada pesakit yang tidak ditaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abd Rahman Arshad berkata, "Sumbangan kepada Pusat Dialisis ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi dan komitmen pemohon untuk memberi rawatan kepada pesakit yang kurang mampu dengan kadar yang berpatutan. Setakat Januari tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM10,578,759.29 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.”

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

 

 
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.