Wakaf Updates

WAKAF SELANGOR MUAMALAT MENYUMBANG KEPADA HOSPITAL WAQAF AN-NUR

Pasir Gudang, Khamis 11 Oktober : Wakaf Selangor Muamalat hari ini memberi sumbangan 4 buah mesin dialisis kepada Hospital Waqaf An-Nur, Pasir Gudang, Johor. Keseluruhan sumbangan berjumlah RM178,920.00. Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Y.Bhg. Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid telah menyerahkan simbolik sumbangan kepada Y.Bhg En Mohd Bahrin Bakri, Pengurus Besar Divisyen Tanggungjawab Korporat Johor Corporation. Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Wakaf Selangor Muamalat, wakil pihak pengurusan Johor Corporation dan Hospital Waqaf An-Nur.

Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur ditubuhkan oleh Johor Corporation melalui Waqaf An-Nur Corporation Berhad. Operasi klinik ini disokong sepenuhnya oleh hospital-hospital pakar KPJ Healthcare Berhad. Ia juga dibina dengan kerjasama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri. Sehingga kini terdapat 19 buah

 


rangkaian klinik yang beroperasi di seluruh Malaysia termasuk sebuah hospital dan 5 buah klinik bergerak. Perkhidmatan perubatan di klinik Waqaf An-Nur boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa dan agama. Sehingga Ogos 2018, sebanyak 1,738,597 rawatan telah diberikan kepada pesakit di rangkaian klinik ini. Daripada jumlah tersebut, lebih 152,000 rawatan diberikan kepada pesakit bukan Islam.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Dato’ Hj Mohd Redza Shah berkata, "Sumbangan mesin dialisis ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi dan komitmen pemohon untuk memberi rawatan kepada pesakit yang kurang mampu dengan kadar yang berpatutan. Setakat September tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM11,954,664.86 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.”

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

 

 
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.