Wakaf Updates

WAKAF SELANGOR MUAMALAT MENYUMBANG SEBUAH BAS KLINIK BERGERAK KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

Kota Kinabalu Sabah, Jumaat 6 April : Wakaf Selangor Muamalat hari ini memberi sumbangan sebuah kenderaan (bas) klinik bergerak kepada Angkatan Tentera Malaysia. Keseluruhan sumbangan berjumlah RM708,080. Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid telah menyerahkan kunci simbolik sumbangan kepada Leftenan Jeneral Dato’ Wira Zaki Haji Mokhtar Panglima Medan Timur Tentera Darat bersama beberapa ahli jawatankuasa yang lain di majlis tersebut. Turut hadir ke majlis tersebut ialah wakil–wakil pengurusan dari Markas Medan Timur Tentera Darat dan juga Ahli Jawatankuasa dari Wakaf Selangor Muamalat.

Projek ini adalah kerjasama di antara Wakaf Selangor Muamalat dan Angkatan Tentera Malaysia  dan menggunakan Syarikat BadanBas Sdn Bhd sebagai pembekal bas bagi projek ini. Jumlah amaun yang telah dipersetujui oleh Ahli


Ahli Jawatankuasa Wakaf Selangor Muamalat adalah sebanyak RM708,080. Klinik (bas) bergerak ini akan digunakan sebagai klinik perubatan dan pergigian, pusat rawatan awal kecemasan semasa bencana, program khatan, program derma darah, dan juga program promosi dan pendidikan kesihatan. Bas ini akan berjalan di kawasan-kawasan pedalaman Sabah.

Model bas yang digunakan adalah Scania K360iB 4x2 Diesel manakala berat bas tersebut adalah sebanyak 13 tan. Antara peralatan sokongan yang akan membantu pihak ATM melakukan rawatan adalah 1 tangki air bersih, 1 tangki air buangan, 1 pam air,1 meja konsultasi dan satu kabinet penyimpanan dengan sinki. Tempoh pembinaan bas ini dari tarikh idea projek tercetus sehinggalah ke majlis penyerahan, mengambil masa selama 216 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dato Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, "Sumbangan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi dan komitmen pemohon untuk memberi rawatan kepada penduduk tempatan. Setakat Januari tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM11,100,844.20 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.”

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.

     
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.