Wakaf Updates

Wakaf MAIK Muamalat Merasmikan Pusat Latihan Mualaf

Tumpat, Khamis 12 Mac: Wakaf MAIK Muamalat hari ini merasmikan Pusat Latihan Mualaf di Mukim Kok Keli, Tumpat, Kelantan. Perasmian telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf MAIK Muamalat merangkap Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Aziz. Turut hadir di majlis tersebut beberapa wakil pihak pengurusan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).

Bangunan Pusat Latihan Mualaf merupakan sebuah fasiliti untuk penginapan sementara kepada saudara baru di Kelantan. Penghuni Pusat ini akan menginap secara transit dalam tempoh 3 hingga 6 bulan sehingga mereka dapat mengurus diri dari segi pengetahuan agama. Kos renovasi bangunan ini berjumlah RM369,632.40 dan disumbangkan oleh Wakaf MAIK Muamalat.

 


Ketua Divisyen Shariah Bank Muamalat Malaysia Berhad, En. Mohd. Izuwan Mahyudin, dalam ucapan menyatakan dana yang dikutip akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Bank Muamalat dan MAIK yang akan merangka dan melaksanakan aktiviti wakaf terutamanya dalam sektor pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan ekonomi termasuk pelaburan yang difikirkan sesuai bagi menjana dana wakaf yang sedia ada. Beliau turut menyatakan Bank Muamalat bersama-sama 5 buah bank Islam yang lain telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri dalam memajukan wakaf di bawah inisiatif yang dinamakan sebagai Mywakaf.

Wakaf MAIK Muamalat adalah inisiatif kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 18 Januari 2018. Program ini merupakan usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada tiga sektor iaitu pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan ekonomi. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf.

 

 

   
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.