Wakaf Updates

WAKAF SELANGOR MUAMALAT MENYUMBANG SEBUAH MESIN ULTRABUNYI KEPADA HOSPITAL UNIVERSITI SAINS MALAYSIA.

KOTA BHARU, Disember 2020 - Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebuah mesin ultrabunyi kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Krian, Kota Bharu, Kelantan.
Mesin ultrabunyi yang berharga RM75,000 telah diserahkan kepada Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Jabatan ini mempunyai 14 buah wad ICU dengan bilangan 110 buah katil pesakit dan 10 unit ruangan untuk pembedahan. Bilangan wad dan katil yang banyak ini menyebabkan permintaan dan kekerapan penggunaan mesin yang sangat tinggi. Tambahan pula, kekurangan mesin ultrabunyi di hospital ini juga menyebabkan mereka terpaksa berkongsi sesama jabatan dalam penggunaan mesin ultrabunyi yang sedia ada. Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat telah meluluskan sumbangan mesin ultrabunyi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan HUSM.


Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Dr Mohd Hafiz Hj Fauzi berkata, "Sumbangan kepada Hospital ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi dan komitmen pemohon untuk memberi rawatan kepada pesakit yang kurang mampu dengan kadar yang berpatutan. Jawatankuasa berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan HUSM demi berkhidmat dan terus memberi manfaat kepada masyarakat. Sokongan orang ramai terhadap orang Wakaf Selangor  Muamalat memainkan peranan penting dalam membolehkan Wakaf Selangor Muamalat dapat memberikan sumbangan secara konsisten demi manfaat bersama.

Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Sejak penubuhannya, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang lebih dari 98 buah aset pendidikan dan kesihatan yang bernilai lebih RM21 juta kepada mereka yang memerlukan di seluruh negara.

 

 

         
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.