Wakaf Updates

Bank Muamalat lancar Wakaf Selangor Muamalat

SHAH ALAM - Bank Muamalat Malaysia Berhad telah melancarkan satu perkhidmatan terbaru dinamakan Wakaf Selangor Muamalat pada 27 September 2012 yang lalu bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam. Ia bertujuan untuk memudahkan pelanggan dan orang ramai menyumbang dana wakaf bagi pembangunan ummah di negeri itu. Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr. Mohd Munir Abd. Majid berkata, projek dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) itu akan membolehkan Bank Muamalat melalui cawangan yang dimilikinya mengumpul serta menguruskan dana wakaf tersebut.

"Melalui sistem ini, Bank Muamalat dapat menjalankan kutipan wakaf dengan lancar dan secara percuma," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perkhidmatan terbaru itu. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan perkhidmatan baharu itu.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Dato' Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Abu Bakar Yang. Melalui projek itu, Bank Muamalat menjadi bank pertama di negara ini yang berkerjasama dengan badan kerajaan untuk mengutip dan menguruskan dana wakaf di negeri berkenaan. Kakitangan Bank Muamalat turut memberi sumbangan wakaf sebanyak RM75,040.00.

Tan Sri Munir menjelaskan , sebagai permulaan, Bank Muamalat akan menyumbang sebanyak RM1 juta kepada wakaf tersebut. Dana tersebut diperoleh daripada kutipan pembayaran berkala, hibah dan sumbangan langsung daripada sektor runcit dan korporat kepada bank tersebut.

Dengan kehadiran Jay Jay, penyanyi yang tidak asing lagi telah membuat persembahan lagu tema 'esok masih ada' sebagai pembuka majlis pelancaran Wakaf Selangor Muamalat. Majlis dibanjiri seramai lebih tiga ratus tetamu yang turut memeriahkan lagi pada majlis tersebut. Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.