Wakaf Updates

Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kajang

3 Ogos 2013 – Sebuah majlis penyerahan sumbangan Wakaf Selangor Muamalat telah diadakan di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kg Sg Sekamat, Kajang, Selangor. Majlis telah berlangsung dalam suasana yang ringkas tapi amat bermakna kerana ia diadakan serentak dengan penyerahan kenderaan Exora sumbangan Tabung Mawaddah kepada pusat jagaan tersebut.

Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JPB) Wakaf Selangor Muamalat (WSM), Y.Bhg. Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, Y.Bhg. Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama merangkap Ahli Jawatankuasa Syariah BMMB serta wakil daripada Bank Muamalat dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Majlis bermula pada jam 10 pagi dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Azim Mohd Saufi daripada Jabatan Syariah diikuti dengan ucapan Pengerusi JPB Wakaf Selangor Muamalat. Y.Bhg. Tan Sri di dalam ucapannya telah memuji usaha murni Bank Muamalat dalam mengutip dan membesarkan dana wakaf serta kerjasama Bank dengan Perbadanan Wakaf Selangor membantu sektor pendidikan dan kesihatan dengan aktiviti kebajikan wakaf. Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Tn Hj Mohd Azmi bin Md Zain pula dalam ucapannya menyatakan penghargaan dan berterima kasih di atas sumbangan WSM dan keperihatinan Bank Muamalat terhadap rumah jagaan tersebut.

Acara diteruskan lagi dengan penyampaian simbolik sumbangan WSM kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah diikuti dengan penyerahan ‘mock key’ kenderaan sumbangan Tabung Mawaddah. WSM telah menyumbangkan alat-alat bantuan kesihatan seperti kerusi rosa, tongkat, katil, dan lain-lain yang kesemuanya berjumlah RM 35,600. Seterusnya Y.Bhg. Pengerusi bersama-sama Dato’ Redza dan tetamu-tetamu lain turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada para penghuni dan petugas rumah tersebut sambil beramah mesra dengan mereka semua. Majlis bersurai kira-kira pukul 11 pagi.

Rumah Jagaan Al-Fikrah Malaysia merupakan sebuah pusat jagaan untuk pesakit terdampar tanpa waris, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan saudara baru. Selain daripada perkhidmatan penjagaan harian, pusat ini juga memberi perkhidmatan perubatan, kelas agama, program motivasi, dan kaunseling kepada penghuni-penghuninya. Pusat ini mempunyai 25 orang pesakit lelaki dan menggaji pekerja seramai 6 orang yang terdiri daripada seorang pengurus, seorang penyelia, seorang pekerja am, dan seorang pemandu.

 
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.