Wakaf Updates

Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat kepada Hospital Sungai Buloh

Pada 30 Januari 2013 - Satu majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan kepada Hospital Sungai Buloh telah berlangsung dalam suasana yang ringkas tapi penuh bermakna. Majlis ini merupakan projek pertama Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan (WSM) setelah 4 bulan ia dilancarkan. Bertempat di auditorium Hospital Sungai Buloh, majlis tersebut telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JPB) WSM, YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abd Rahman Arshad, Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), YBhg Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) YAD Dato’ Setia Ramli bin Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PWS, En. Abu Bakar bin Yang dan beberapa tetamu kehormat yang lain serta kakitangan Hospital Sg. Buloh.

Dianggarkan lebih 200 kakitangan Hospital Sungai Buloh telah memenuhi auditorium tersebut. Selain daripada itu, wakil BMMB cawangan Rawang telah membuka kaunter wakaf yang mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kakitangan Hospital. Sebelum majlis penyerahan, satu sesi tazkirah bertajuk ‘Wakaf Pelaburan Akhirat’ telah disampaikan oleh Ustaz Anuar Hamzah Tohar dari PWS.

Majlis penyerahan bermula pada jam 2 petang dengan bacaan doa oleh Us Abd Aziz Roslan daripada Jabatan Syariah, BMMB. Diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Hospital, YBhg Dr Khalid Ibrahim seterusnya ucapan oleh YBhg Pengerusi JPB. YBhg Pengerusi JPB di dalam ucapannya berkata, pemilihan Hospital Sungai Buloh sebagai penerima pertama sumbangan WSM adalah kerana pesakit-pesakit di sini memenuhi kelayakan untuk menerima sumbangan wakaf di samping rekod kecemerlangan Hospital Sungai Buloh di dalam memberi khidmat penjagaan kesihatan. Beliau juga sempat mengajak orang ramai supaya bersama-sama menyumbang melalui WSM untuk menjamin kelestarian dana wakaf. Majlis diserikan pula dengan tayangan iklan TV dan video interaktif WSM. Kemuncak majlis adalah upacara penyerahan peralatan di mana wakil JPB, BMMB, dan PWS telah sama-sama naik ke pentas bagi menyerahkan beberapa peralatan kepada Pengarah Hospital. Antara peralatan yang disumbangkan adalah kerusi roda, ‘oxygen consentrator’, ‘portable suction pump’, ‘ripple mattress’, dan lain-lain yang bernilai RM 37,030.00. Selesai majlis penyerahan, satu sidang akhbar telah diadakan dan diikuti dengan jamuan minum petang kepada tetamu VIP, wakil-wakil media, dan semua kakitangan Hospital.

Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan adalah sebuah usahasama yang strategik di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Buat masa ini, WSM hanya menumpukan kepada projek-projek pendidikan dan kesihatan dengan sasaran penerima di dalam negeri Selangor. Majlis ini adalah projek perintis dan dengan izin Allah SWT, projek-projek lain akan menyusul selepas ini. Semoga WSM akan terus dinamik mengumpul dana dan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, dan budaya.

 
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.