Wakaf Updates

Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) kepada PERTIS

Gombak, 11 November 2013 - Sebuah majlis penyerahan sumbangan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) peringkat sekretariat telah diadakan di Pejabat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Pihak PERTIS yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua En. Zamzuri b. Ghani telah menyambut kehadiran wakil sekretariat WSM, tiga orang dari Bank Muamalat dan dua orang dari Perbadanan Wakaf Selangor yang diketuai oleh Ketua Sekretariat Haji Che Mazlan b. Che Yusoff. Peralatan yang telah disumbangkan ialah sebuah mesin embosser (pencetak tulisan Braille) dan almari khas bagi mesin tersebut dengan nilai keseluruhan RM 14,633.80.

Majlis bermula pada jam 10.30 pagi dengan ucapan daripada setiap wakil iaitu Ustaz Anuar Hamzah b. Tohar mewakili sekretariat WSM dan En. Zamzuri b. Ghani mewakili PERTIS.

Majlis ini diteruskan dengan bacaan doa, penyampaian ‘mock cheque’ sebagai simbolik penerimaan sumbangan oleh pihak PERTIS dan sesi bergambar. Sebelum majlis berakhir pada jam 11.30 pagi, wakil-wakil sekretariat WSM dibawa melawat sekitar pejabat PERTIS khususnya bagi meninjau operasi pencetakan Al-Quran Braille menggunakan mesin Braille yang telah disumbangkan disamping meramah mesra bersama kakitangan yang bertugas di pejabat tersebut.

PERTIS merupakan antara persatuan induk bagi orang-orang cacat penglihatan di Malaysia. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1996. Persatuan ini bergiat aktif dalam bidang kebajikan, pendidikan dan dakwah di kalangan orang-orang cacat penglihatan dan sehingga kini mempunyai keahlian berdaftar seramai 1,400 orang di seluruh negara. PERTIS juga mempunyai cawangan di 5 buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, N.Sembilan dan Kedah. Disamping menerima permintaan bagi mencetak dan mengedar Al-Quran braille, buku agama braille dan buku teks braille, PERTIS juga turut menjalankan kerja-kerja kebajikan seperti menyumbang Al-Quran braille secara percuma di masjid dan sekolah yang memerlukan, menganjur kelas pengajian (belajar tulisan jawi Braille, bacaan al-quran Braille dan kelas bahasa arab), kursus dan ceramah bagi kakitangan kerajaan dan swasta. Persatuan ini telah mencatatkan namanya di dalam sejarah apabila turut membantu pasukan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM kerana berjaya mencipta software E-Braille Quran Teaching Aid yang merupakan ciptaan pertama seumpamanya di dunia.

Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.