Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat Menyumbang Peralatan Asas Ke Maahad Tahfiz Al-Quran Wa-Ulumuddin, Sungai Besar

Sungai Besar, Selasa 21 Mei: Wakaf Selangor Muamalat memberi sumbangan barangan peralatan asas ke Maahad Tahfiz Al-Quran Wa-Ulumuddin di Sungai Besar. Al-Fadhil Ustaz Haji Jemari bin Ngaris, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Wa-Ulumuddin telah menerima sumbangan daripada Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat hari ini.

Wakaf Selangor Muamalat, satu lagi perkhidmatan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) yang direka khas untuk memberi kemudahan kepada pelanggannya dan orang awam, adalah usahasama yang strategik di antara Bank Muamalat dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya yang luas di negara ini akan mengumpul dan menguruskan dana waqaf bersama-sama dengan PWS.

Sebagai salah satu projek perintis, Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat (WSM) telah meluluskan pemberian sumbangan wakaf peralatan asas untuk kegunaan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa-Ulumuddin. Peralatan yang disumbangkan adalah 50 buah katil 2-tingkat, tilam sebanyak 100 keping dan 50 buah almari untuk kegunaan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz ini. Dimana keseluruhannya berjumlah RM43,100.00.

Maahad Tahfiz Al-Quran Wa-Ulumuddin menyediakan 3 platform pendidikan iaitu dari segi akademik, agama dan hafazan Al-Quran. Sehingga kini Maahad Tahfiz ini mempunyai 25 orang pelajar lelaki.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Arshad telah dilantik sebagai Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat. Dana-dana ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan. Sumbangan dana ini adalah layak untuk potongan cukai sebanyak 7% dan 10% daripada pendapatan agregat seseorang individu atau korporat.

Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.