Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat Menyumbang Mesin Dialisis Kepada Pusat Hemodialisis Islam Makmur, Kuantan

Kuantan, Pahang, Selasa 4 Mac: Wakaf Selangor Muamalat memberi sumbangan 2 buah mesin dialisis kepada Pusat Hemodialisis Islam Makmur, Kuantan. Prof. Dato’ Dr. Hj Ariff bin Osman, Pengerusi Pusat Hemodialisis Islam Makmur (PHIM), Kuantan menerima sumbangan tersebut daripada Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat.

Wakaf Selangor Muamalat, satu lagi perkhidmatan Bank Muamalat yang direka khas untuk memberi kemudahan kepada pelanggannya dan orang awam, adalah usahasama yang strategik di antara Bank Muamalat dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya yang luas di negara ini akan mengumpul dan menguruskan dana waqaf bersama-sama dengan PWS.

Satu lagi projek yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat (WSM) ialah pemberian sumbangan wakaf 2 buah mesin dialisis yang berjumlah RM80,000 kepada Pusat Hemodialisis Islam Makmur, Kuantan. Dengan sumbangan 2 buah mesin baru ini, diharap PHIM dapat memberi rawatan kepada pesakit-pesakit dengan lebih efisyen dan pahala pewakaf dapat dipanjangkan kepada mereka yang memerlukan.

Pusat Hemodialisis Islam Makmur (PHIM) adalah sebuah pusat dialisis yang mengendalikan rawatan buah pinggang. Ia ditubuh dan diasaskan oleh Badan Nadwah Islamiah Pahang (NADWAH), sebuah NGO yang bergiat aktif dalam bidang “dakwah bil hal” (dakwah secara perbuatan).

Pusat Haemodialisis adalah penerima Wakaf Selangor Muamalat ke luar negeri Selangor yang pertama. Pemilihan ini dibuat dengan melihat kepada komitmen Pusat ini memberi rawatan yang berkualiti kepada semua pesakit kegagalan fungsi buah pinggang (end-stage chronic renal failure atau ESCRF) tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan.

Pusat ini menyediakan rawatan hemodialisis pada kadar minimum iaitu sebanyak RM100.00 bagi sekali rawatan berbanding kos yang ditanggung oleh PHIM iaitu antara RM130.00-RM150.00. Bagi pesakit yang tiada sumber kewangan atau pembiaya akan dikenakan caj yang setara dengan hospital kerajaan

Dalam ucapannya, Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad berkata, “Dengan kos yang sentiasa meningkat, pusat-pusat perubatan seperti ini sangat memerlukan sumbangan bantuan dari segi kos pengurusan, operasi, dan peralatan perubatan serta bukan perubatan. Melihat kepada situasi ini, pihak Wakaf Selangor Muamalat berasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya membantu golongan ini tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.”

“Sehingga Mac tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak 643,813.80 dalam bentuk bantuan peralatan kesihatan seperti mesin dialisis, mesin oksigen concentrator, kerusi roda, katil, dan pelbagai lagi. Selain daripada sektor kesihatan, Wakaf Selangor Muamalat juga menyumbang di dalam sektor pendidikan. Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Malah sumbangan ini turut boleh dimanfaatkan oleh golongan bukan Islam. Melalui ini, secara tidak langsung akan memberi persepsi yang baik di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam”. Katanya lagi.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Arshad telah dilantik sebagai Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat. Dana-dana ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan. Sumbangan dana ini adalah layak untuk potongan cukai sebanyak 7% dan 10% daripada pendapatan agregat seseorang individu atau korporat.

       
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.