Wakaf Updates

Wakaf Selangor Muamalat Menyumbang Mesin Dialisis Kepada Pusat Dialisis Nur Ain

Rawang, Selangor, Isnin 7 Oktober: Wakaf Selangor Muamalat memberi sumbangan 2 buah mesin dialisis kepada Pusat Dialisis Nur Ain, Rawang, Selangor. Tuan Haji Jamal bin Nasir, Pengurus Pusat Dialisis Nur Ain menerima sumbangan tersebut daripada Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat.

Wakaf Selangor Muamalat, satu lagi perkhidmatan Bank Muamalat yang direka khas untuk memberi kemudahan kepada pelanggannya dan orang awam, adalah usahasama yang strategik di antara Bank Muamalat dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya yang luas di negara ini akan mengumpul dan menguruskan dana waqaf bersama-sama dengan PWS.

Satu lagi projek yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat (WSM) ialah pemberian sumbangan wakaf 2 mesin dialisis untuk kegunaan pesakit di Pusat Dialisis Nur Ain. WSM memberi sumbangan mesin dialisis dimana jumlahnya ialah RM76,000.00.

Dalam ucapannya, Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad berkata, “Dengan kos yang sentiasa meningkat, pusat-pusat perubatan seperti ini sangat memerlukan sumbangan bantuan dari segi kos pengurusan, operasi, dan peralatan perubatan serta bukan perubatan. Melihat kepada situasi ini, pihak Wakaf Selangor Muamalat berasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya membantu golongan ini tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.”

“Sehingga awal Oktober tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM 405,530.00 dalam bentuk bantuan peralatan kesihatan seperti mesin dialisis, mesin oksigen concentrator, kerusi roda, katil, dan pelbagai lagi. Selain daripada sektor kesihatan, Wakaf Selangor Muamalat juga menyumbang di dalam sektor pendidikan. Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Malah sumbangan ini turut boleh dimanfaatkan oleh golongan bukan Islam. Melalui ini, secara tidak langsung akan memberi persepsi yang baik di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam”. Katanya lagi.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Arshad telah dilantik sebagai Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat. Dana-dana ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan. Sumbangan dana ini adalah layak untuk potongan cukai sebanyak 7% dan 10% daripada pendapatan agregat seseorang individu atau korporat.

     
Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.