Wakaf Updates


Wakaf Selangor Muamalat Menyumbang Sebuah Bilik Darjah Serta Kelengkapan Dan Sebuah Van Kepada Sekolah Rendah Islam Al-Huda Dan Institusi Latihan Ilmuan Al-Quran

Gombak, Selangor, Rabu 28 Mei : Wakaf Selangor Muamalat memberi 2 sumbangan berupa pembinaan sebuah bilik darjah serta kelengkapan bagi 5 buah bilik darjah kepada Sekolah Rendah Islam Al-Huda (SERI Al-Huda) dan sebuah van kepada Institusi Latihan Ilmuan Al-Quran (ILIQ) yang dinaungi oleh Persatuan Intitusi Al-Quran Negeri Selangor (PITAS). Majlis sumbangan ini diadakan di perkarangan Sekolah SERI Al-Huda, Gombak. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat telah menyerahkan kedua-dua sumbangan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Pengarah SERI Al-Huda, Dr. Amran Muhammad dan Pengerusi PITAS Ustaz Ashri Lateh.

Wakaf Selangor Muamalat merupakan perkhidmatan berasaskan konsep wakaf oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) yang direka khas untuk memberi kemudahan kepada pelanggannya dan orang awam untuk berwakaf. Perkhidmatan ini adalah usahasama yang strategik di antara BMMB dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melalui rangkaian cawangannya di negara ini dan bertanggungjawab bukan sekadar mengumpul malahan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan PWS.

SERI Al-Huda telah ditubuhkan pada tahun 1989 dan berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sekolah ini menawarkan silibus pendidikan akademik dan agama. Silibus ini melayakkan murid-murid di sekolah ini mengambil peperiksaan Penilaian Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sumbangan yang diterima ialah pembinaan sebuah bilik darjah dan kelengkapan pembelajaran bagi 5 buah bilik darjah, antaranya seperti meja, kerusi, papan hitam dan lain-lain berjumlah RM498,000.00.

Sebuah van pengangkutan bernilai hampir RM79,000.00 disumbangkan kepada ILIQ-PITAS bagi memenuhi keperluan institusi ini yang baru memulakan operasinya pada awal tahun 2014. Institusi ini berfungsi sebagai pusat pembangunan latihan dan pendidikan berterusan kepada pelajar-pelajar tahfiz Al-Quran, guru-guru tahfiz dan para pencinta ilmu tahfiz. Di antara kursus yang ditawarkan di institusi ini adalah Persijilan Syahadah Tahfiz Al-Quran, Kursus Ithbat Hafazan Al-Quran, Kursus Motivasi dan kepimpinan kepada guru-guru dan pelajar tahfiz. Selain sebuah van, institusi ini juga masih memerlukan sumbangan-sumbangan lain seperti kos baik pulih bangunan sedia ada, peralatan pejabat, bilik guru dan kelas dan dana bagi perbelanjaan penyelenggaraan tahunan.

Dalam ucapannya, Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad berkata, “Dengan kos yang sentiasa meningkat, sekolah persendirian dan pusat pengajian seperti ini sangat memerlukan sumbangan bantuan dari segi kos pengurusan, operasi, dan peralatan pembelajaran. Melihat kepada situasi ini, pihak Wakaf Selangor Muamalat berasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya serta amanah para pewakaf iaitu membantu golongan ini dalam memastikan anak bangsa mendapat pendidikan akademik dan agama yang sempurna.”

“Sehingga April tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah melulus dan menyumbang sebanyak RM1,320,968.18 pada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Sumbangan juga telah disalurkan kepada pemohon di dalam dan di luar Negeri Selangor. Sumbangan Wakaf Selangor Muamalat tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Malah sumbangan ini turut boleh dimanfaatkan oleh golongan bukan Islam. Atas sokongan yang diterima hingga kini akan perkhidmatan wakaf ini, diharapkan agar perancangan bagi menubuhkan pusat pendidikan dan kesihatan wakaf menjadi kenyataan”. Katanya lagi.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Arshad telah dilantik sebagai Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat. Dana-dana ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan. Para penyumbang bagi dana ini adalah layak mendapat potongan cukai sebanyak 7% dan 10% daripada pendapatan agregat seseorang individu atau korporat.

Anda ada pertanyaan?    

Hubungi kami di 03-2600 5500 atau sila rujuk info perhubungan di ruangan Hubungi Kami di atas.