Tutup
EN
BM

Peribadi

Perniagaan

Artikel

Tekad Seorang Ibu Mengubah Dugaan Menjadi Harapan

Diterbitkan pada 30/10/2026

Bermula dengan perniagaan kecil dari rumah, Zai Suhana Mohd Tap menemukan jalan untuk menjana pendapatan sambil menjaga anaknya. Sokongan program iTEKAD Bank Muamalat kemudian membantunya mengembangkan perniagaan.

Apabila anaknya disahkan menghidap kanser mata, Zai Suhana Mohd Tap berdepan keputusan sukar: meninggalkan pekerjaan untuk memberikan sepenuh perhatian kepada penjagaan anak, sambil mencari sumber pendapatan lain bagi menyara keluarga.

Rawatan dan penjagaan anak menjadi keutamaan. Namun, keperluan untuk menampung kehidupan keluarga tetap perlu dipenuhi.

Perniagaan kecil menghasilkan minuman durian belanda akhirnya membuka jalan untuk beliau mengimbangi kedua-dua tanggungjawab itu. Bermula dari rumah, Zai Suhana mempelajari cara memproses buah tersebut dan menghasilkan minuman untuk dijual, dengan pengeluaran awal hanya sekitar 50 hingga 100 botol pada satu-satu masa.

Pelanggan pertamanya terdiri daripada penduduk setempat. Apabila tempahan semakin bertambah, usaha yang pada mulanya sekadar untuk menambah pendapatan mula memperlihatkan potensi lebih besar.

“Saya tidak pernah menjangka sambutannya begitu menggalakkan,” katanya.

Kini, syarikatnya, Zaieys Global Resources, menghasilkan kira-kira 3,000 botol sebulan. Pilihan minumannya turut berkembang kepada perisa asli, madu dan lemon, manakala jualan dalam talian membolehkannya menjangkau pelanggan di seluruh Malaysia.

Perkembangan itu membuka peluang baharu untuk keluarganya. Pada masa yang sama, beliau perlu mempelajari cara mengurus perniagaan yang semakin berkembang.

 

Mengurus permintaan, membina perniagaan mampan

Bagi usahawan mikro, pertambahan tempahan turut membawa cabaran. Bahan mentah dan pembungkusan perlu dibeli, peralatan mesti mampu menampung pengeluaran, dan stok perlu tersedia sebelum hasil jualan dapat digunakan semula sebagai modal.

Bagi Zai Suhana, akses kepada dana serta bimbingan perniagaan menjadi langkah penting untuk meneruskan perkembangan tersebut.

Melalui program iTEKAD Bank Muamalat, beliau menerima bantuan kewangan untuk membeli peralatan, menambah stok dan meningkatkan kapasiti pengeluaran. Bantuan itu turut disertai bimbingan mentor, latihan perniagaan serta panduan keusahawanan dan pemasaran. Sokongan tersebut membantunya merancang lebih jauh daripada sekadar memenuhi tempahan harian.

“Idea dan bimbingan yang dikongsikan membantu saya melihat perniagaan ini daripada perspektif berbeza. Banyak yang saya praktikkan dan ia membantu perniagaan saya terus berkembang,” katanya.

Beliau kemudian mempelbagaikan rangkaian produknya dengan memperkenalkan produk berasaskan durian belanda yang lain, termasuk teh dan produk buah yang diproses. Kepelbagaian ini memberikannya lebih banyak peluang untuk memenuhi permintaan pelanggan dan menjana pendapatan.

Pengalamannya mencerminkan cabaran yang turut dihadapi ramai pemilik perniagaan kecil. Menghasilkan produk yang mendapat sambutan merupakan permulaan penting, tetapi memastikan perniagaan terus berkembang memerlukan sumber, kemahiran dan keyakinan untuk mengambil langkah seterusnya.

Pensijilan halal membuka ruang pertumbuhan

Dengan bimbingan Bank Muamalat, Zai Suhana turut berjaya memperoleh pensijilan halal bagi perniagaannya. Pencapaian ini menjadi satu lagi langkah penting dalam usahanya memperkukuh keyakinan pelanggan dan meluaskan pasaran.

Sokongan yang diterima membantunya membina asas perniagaan yang lebih kukuh, daripada meningkatkan pengeluaran dan mempelbagaikan produk hinggalah memenuhi keperluan pensijilan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, usaha memperkukuh keupayaan usahawan menjana pendapatan merupakan antara matlamat utama program tersebut.

“Bagi usahawan yang mengimbangi perniagaan dengan tanggungjawab keluarga, peluang menjana pendapatan secara mampan boleh membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka. Melalui iTEKAD, kami menggabungkan sokongan kewangan dengan bimbingan perniagaan yang praktikal bagi membantu peserta memperkukuh operasi dan membina sumber pendapatan yang lebih stabil.

“Kemajuan Zai Suhana mencerminkan kesungguhan dan kesediaan beliau untuk terus belajar. Peranan kami adalah membantu beliau mengembangkan hasil usaha tersebut melalui sokongan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaannya.”

Kini, dengan pensijilan halal yang telah diperoleh, Zai Suhana berhasrat meningkatkan pengeluaran dan membawa produknya kepada lebih ramai pelanggan di seluruh negara.

Perniagaan itu telah berkembang jauh daripada pengeluaran awal sebanyak 50 hingga 100 botol. Namun, matlamat utamanya tetap sama: menjaga keluarga dan membina masa depan yang lebih terjamin.

Bagi Zai Suhana, setiap tempahan baharu membawanya selangkah lebih dekat kepada impian tersebut.

 

Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat lanjut?

Untuk maklumat lanjut mengenai Program iTEKAD di Bank Muamalat, sila hubungi kami di itekadgroup@muamalat.com.my

Sembang dengan kami sekarang!
WhatsApp
AUSTRALIAN DOLLAR AUD 2.827000 2.674000 2.658000
BRUNEI DOLLAR BND 3.295000 3.106000 3.095000
CANADIAN DOLLAR CAD 2.918000 2.816000 2.799000
SWISS FRANC CHF 4.986000 4.772000 4.754000
EURO EUR 4.659000 4.403000 4.381000
STERLING POUND GBP 5.544000 5.302000 5.293000
NEW ZEALAND DOLLAR NZD 2.374000 2.205000 2.190000
SINGAPORE DOLLAR SGD 3.295000 3.106000 3.105000
UNITED STATES DOLLAR USD 4.231000 4.005000 3.988000

2026-11-19 08:57:23