Bank Muamalat Rai Hari Kebangsaan 2026 Bersama OKU Penglihatan, Lancar Kempen Malaysia Kita, Cerita Kita
Kuala Lumpur, 26 Ogos 2026 – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dengan mengangkat nilai kebersamaan dan semangat perpaduan, sebagai cerminan komitmen berterusannya untuk memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong usaha membina komuniti yang lebih inklusif dan harmoni.
Sambutan yang berlangsung hari ini di Laman Warisan, Jalan Melaka turut menampilkan penglibatan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan daripada Malaysian Association for the Blind (MAB), termasuk persembahan koir daripada ahli persatuan tersebut.
Sempena sambutan ini, Bank Muamalat menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat kepada wakil persatuan MAB sebagai bantuan kewangan kepada 40 keluarga B40 dan asnaf dalam kalangan OKU penglihatan.
Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan kepada rakan media, Media Prima, serta Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, yang diterima oleh Datuk Azhari Muhidin, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui usaha yang memberi makna kepada masyarakat, bukan sekadar diraikan melalui acara dan simbol patriotisme.
“Kemerdekaan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar meraikan sejarah. Ia adalah tentang tanggungjawab kita untuk membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif, saling menghormati dan memastikan tiada siapa yang tertinggal,” katanya.
“Komitmen Bank Muamalat terhadap agenda inklusiviti dan pemerkasaan masyarakat bukan sekadar dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Muamalat melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk penglibatan aktif dalam iTEKAD, program pemerkasaan usahawan mikro, serta pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan, komuniti kurang bernasib baik dan pembangunan masyarakat,” tambahnya.
Sambutan Hari Kebangsaan Bank Muamalat tahun ini turut menyaksikan pelancaran kempen “Malaysia Kita, Cerita Kita”, hasil kerjasama Bank Muamalat bersama Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kempen ini mengetengahkan kisah, pengalaman dan perspektif rakyat Malaysia sebagai cerminan kepelbagaian yang membentuk identiti negara, sekali gus memberi ruang kepada pelbagai suara untuk diketengahkan dan menggalakkan masyarakat berkongsi cerita tentang Malaysia daripada perspektif mereka sendiri.



































