Episod 9: WANITA MASA KINI: KESIHATAN & KEWANGAN
Di sebalik senyuman setiap wanita, tersimpan kekuatan luar biasa untuk keluarga, kerjaya dan untuk diri sendiri. Wanita masa kini bukan lagi ‘penghuni rumah’ semata-mata tetapi mereka adalah pengurus kewangan keluarga, pemimpin dalam organisasi dan penjaga kesejahteraan orang tersayang. Namun ada satu soalan besar yang jarang ditanya: Siapa yang menjaga wanita?
Dalam episod istimewa Podcast ApeCer Episode 9 bersama KPJ Healthcare, kami membawa kisah-kisah benar yang menyentuh hati tentang ketabahan wanita menjaga kesihatan, kewangan serta cabaran yang mereka hadapi dalam kehidupan sebenar, dari perjuangan melawan penyakit kritikal seperti kanser hingga cabaran kesuburan termasuk rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF) serta tekanan mengimbangi kerja, keluarga dan impian peribadi.
BAHAGIAN 1: KESIHATAN WANITA. ANTARA YANG NAMPAK DAN YANG TERSEMBUNYI
1.1 Kisah Sebenar: Melawan Kanser dengan Ketabahan
Perkongsian kisah perjuangan melawan kanser dengan penuh ketabahan dan kecekalan dimana sebuah perjalanan yang mengajar kita semua tentang kekuatan dalaman wanita apabila diuji.
Kanser bukan hanya penyakit fizikal. Ia adalah ujian emosi, mental, spiritual dan kewangan. Bagi kebanyakan wanita yang menghadapi diagnosis kanser:
- Mereka takut bukan untuk diri sendiri tetapi untuk anak-anak dan keluarga yang bergantung kepada mereka
- Bimbang tentang kos rawatan yang tinggi dan impaknya kepada simpanan keluarga
- Bergelut antara ingin kelihatan ‘kuat’ di hadapan orang lain
Ramai wanita membuktikan bahawa dengan sokongan keluarga, akses kepada rawatan yang berkualiti dan perancangan kewangan yang rapi, kanser boleh dilawan dan boleh diatasi.
1.2 Cabaran Kesuburan dan Rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF): Perjuangan Senyap Ramai Wanita
Menyentuh isu kesuburan dan rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF) dimana ia adalah satu cabaran yang dialami ramai pasangan tetapi jarang dibincangkan secara terbuka kerana stigma sosial dan rasa malu.
Bagi wanita yang menjalani rawatan kesuburan:
- Proses rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF) bukan sahaja memenatkan fizikal tetapi juga sangat meletihkan emosi
- Kos rawatan boleh mencecah puluhan ribu ringgit, meletakkan tekanan kewangan yang besar kepada pasangan
- Sokongan emosi dari pasangan dan keluarga amat kritikal untuk terus bertahan
Yang penting untuk difahami: Kesihatan kesuburan adalah sebahagian daripada kesihatan wanita yang perlu diberi perhatian serius dan akses kepada rawatan yang berkualiti dan mampu milik adalah hak setiap wanita.
1.3 Kesihatan Mental: Beban yang Tidak Kelihatan
Selain kesihatan fizikal, kesihatan mental wanita sering diabaikan kerana dianggap ‘bukan penyakit sebenar’ atau hanya ‘stres biasa’.
Namun data menunjukkan sebaliknya. Kajian terbaru mendapati:
- Wanita yang berkerjaya menghadapi tekanan tinggi dari pelbagai sumber: kerja, keluarga, jiran dan masyarakat
- Ramai wanita mengalami simptom kemurungan dan kebimbangan tetapi enggan mendapatkan rawatan kerana takut dilabel ‘lemah’ atau ‘gila’.
- ‘Mental load’ iaitu beban emosi mengingati semua tugasan kecil dalam keluarga adalah satu bentuk tekanan kronik yang sangat meletihkan
BAHAGIAN 2: KEWANGAN WANITA DENGAN MERANCANG MASA DEPAN
2.1 Realiti Kewangan Wanita: Antara Tanggungjawab dan Pengurusan
Bagaimana wanita boleh merancang masa depan kewangan dengan yakin walaupun menghadapi pelbagai cabaran kesihatan.
Dalam Islam, wanita mempunyai hak penuh ke atas harta mereka. Gaji wanita adalah milik mereka sepenuhnya dan mereka tidak wajib menanggung nafkah keluarga dimana itu adalah tanggungjawab suami atau wali. Namun dalam realiti moden, ramai wanita:
- Memilih untuk bekerja dan menyumbang kepada ekonomi keluarga
- Menjadi tulang belakang kewangan selepas kematian atau perceraian
- Mengurus perniagaan sendiri untuk menambah pendapatan
Tidak kira apa status perkahwinan atau situasi kewangan, setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan kewangan dan autonomi untuk membuat keputusan bijak tentang wang mereka.
2.2 Mengapa Perancangan Kewangan Penting untuk Kesihatan Wanita?
- Kos Rawatan Kesihatan Semakin Tinggi
– Rawatan penyakit kritikal seperti kanser, penyakit jantung atau diabetes boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Tanpa perlindungan takaful, keluarga terpaksa menggadai harta atau berhutang. - Stres Kewangan Menjejaskan Kesihatan Mental
– Kajian menunjukkan bahawa tekanan kewangan adalah antara punca utama kemurungan dan kebimbangan. Wanita yang tidak pasti tentang masa depan kewangan mereka lebih mudah mengalami masalah kesihatan mental. - Wanita Hidup Lebih Lama Tetapi Simpanan Lebih Rendah
– Secara purata, wanita hidup lebih lama daripada lelaki. Namun kerana kadar penyertaan tenaga kerja dan pendapatan purata yang lebih rendah, ramai wanita tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.
Menjaga kesihatan kewangan adalah sebahagian daripada menjaga kesihatan keseluruhan.
BAHAGIAN 3: TIPS PRAKTIKAL DALAM MENJAGA KESIHATAN DAN KEWANGAN SECARA SERENTAK
3.1 Untuk Kesihatan Fizikal
- Jangan tunggu sakit baru jumpa doktor. Buat saringan kesihatan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali, terutama untuk kanser payudara, serviks dan penyakit kronik.
- Tidak perlu diet ekstrem tetapi cukup sekadar makan seimbang dan bergerak 30 minit sehari.
- Tidur yang mencukupi sehingga 7-8 jam setiap malam. Tidur yang kurang menjejaskan sistem imun dan kesihatan mental.
3.2 Untuk Kesihatan Mental
- Lakukan aktiviti yang diminati sekurang-kurangnya 1-2 jam seminggu.
- Jika rasa tertekan, bercakap dengan rakan, keluarga atau kaunselor professional.
- Stres kronik bukan sesuatu yang perlu diterima. Ia perlu diuruskan dengan serius.
3.3 Untuk Kesihatan Kewangan
- Ambil tahu berapa pendapatan dan perbelanjaan. Kenal pasti barang yang boleh dikurangkan.
- Sasaran minimum adalah 3-6 bulan perbelanjaan sebagai dana kecemasan.
- Jangan tunggu sakit baru nak beli Takaful. Perlindungan adalah pelaburan, bukan perbelanjaan.
3.4 Untuk Keseimbangan Kerja-Hidup
- Kerja ada masa, keluarga ada masa. Jangan biarkan ‘sempadan’ dicerobohi.
- Jangan rasa perlu buat semua sendiri. Delegasi tugasan kepada pasangan, anak atau pekerja rumah jika mampu.
- Tidak semua tugasan sama penting. Fokus pada yang kritikal dahulu.
BAHAGIAN 4: PERSPEKTIF ISLAM — MENJAGA DIRI ADALAH IBADAH
Islam mengajar kita bahawa tubuh dan nyawa adalah amanah daripada Allah dan kita akan dipertanggungjawabkan tentang bagaimana kita menjaganya.
Ini bermakna:
- Menjaga kesihatan fizikal adalah kewajipan, bukan pilihan
- Mengambil masa untuk rehat dan pulih adalah hak tubuh, bukan kelemahan
- Merancang kewangan dengan bijak adalah tanggungjawab untuk menjaga keluarga dan diri sendiri
PENUTUP: KEKUATAN LUAR BIASA DI SEBALIK SENYUMAN
Wanita masa kini adalah pahlawan senyap yang tidak memerlukan publisiti. Mereka berdepan cabaran kesihatan dan kewangan dengan tabah walaupun kadang-kadang mereka sendiri tidak pasti akan masa depan.
Namun di sebalik setiap senyuman itu, tersimpan kekuatan luar biasa iaitu kekuatan untuk keluarga, kerjaya dan diri sendiri.
Melalui Podcast ApeCer Episode 9 bersama KPJ Healthcare, Bank Muamalat ingin mengingatkan setiap wanita Malaysia:
- Anda berhak untuk sihat (fizikal, mental dan emosi)
- Anda berhak untuk selamat dari segi kewangan dengan perancangan yang bijak dan perlindungan yang mencukupi
- Anda berhak untuk hidup dengan bermakna iaitu bukan sekadar menjalani hari, tetapi benar-benar hidup
Jangan tunggu sehingga terlambat. Mulakan hari ini dengan satu langkah kecil:
- Buat janji temu dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan
- Semak simpanan dan buat belanjawan bulanan
- Bercakap dengan pasangan atau keluarga tentang perancangan kewangan bersama
Kerana kehidupan yang lebih baik bermula dengan keputusan yang bijak hari ini.
Wanita Masa Kini: Kesihatan & Kewangan!
Di sebalik senyuman wanita, tersimpan kekuatan luar biasa – untuk keluarga, kerjaya dan diri sendiri.
Dalam episod khas Podcast ApeCer bersama KPJ Healthcare, kisah benar yang menyentuh hati tentang ketabahan wanita menjaga kesihatan dan kewangan, bersama nasihat pakar dan inspirasi kehidupan.
Diterbitkan pada 03 November 2025

















