Majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan Antara The Combined Bus Services Sdn Bhd Dengan Bank Muamalat
Peranan Bank Muamalat untuk turut sama terlibat dalam meningkat dan memodenkan sistem pengangkutan awam di peringkat negeri amat dihargai dan disanjung tinggi. Kenyataan ini telah disampaikan oleh YB Dr Mah Hang Soon, Ahli EXCO Negeri Perak , Pengerusi jawatan Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam & Hal Ehwal Bukan Islam di Majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan antara The Combined Bus Services Sdn Bhd (CBSB) dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Majlis yang diadakan pada 29/3/2011 bertempat di Tower Hotel Regency, Ipoh Perak tersebut telah dihadiri oleh lebih dari 200 orang tetamu yang terdiri dari pelbagai agensi kerajaan Negeri dan tempatan, kakitangan Perak Transit dan anak-anak syarikatnya serta wakil pengurusan dan pegawai Bank Muamalat dari Ibu pejabat dan cawangan.
Dato’ Hj Mohd Redza , CEO Bank Muamalat dalam ucapan aluan menegaskan bahawa perjanjian pembiayaan ini adalah sebahagian dari penglibatan dan komitmen Bank Muamalat dalam menyediakan pembiayaan perniagaan berdasarkan Shariah . Pihak Bank juga bersedia memberikan lebih banyak pembiayaan yang melibatkan projek-projek pembangunan kerajaan negeri jika diberi peluang. Beliau percaya pembiayaan yang disediakan oleh Bank bagi pembinaan Kompleks terminal bas yang baru di Meru Raya dan pembelian beberapa buah bas oleh CBSB , pastinya akan dapat memberikan keselesaan kepada rakyat negeri Perak khususnya penduduk di Bandaraya Ipoh.
Manakala En Cheong Kong Fitt, Pengarah Urusan Perak Transit Berhad The Combined Bus Services Sdn Bhd pula menyatakan , hasrat kerajaan negeri untuk memodenkan sistem pengangkutan awam di Bandaraya Ipoh adalah juga selari dengan cita-cita kumpulan syaraikat pengangkutan mereka. Matlamat mereka adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai dan ianya selaras dengan hasrat kerajaan iaitu “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.
Semua jemputan yang hadir juga berpeluang melawat tapak pembinaan terminal yang terletak di Meru Raya yang masih dalam proses pembinaan. Projek pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Jun 2012 dan akan menjadi mercu tanda baru pemodenan sistem pengangkutan awam negeri Perak.
Oleh ;
Zaharuddin Alias
Seksyen Sokongan dan Perancangan
Bahagian Perbankan Perniagaan.