Majlis Pembukaan Surau dan Khatam Al-Quran
Satu majlis Pembukaan Surau dan Khatam Al-Quran telah diadakan pada 14 Januari 2011 bersamaan dengan 9 Safar 1432H (Jumaat). Majlis yang bermula pada 4.30 petang ini diadakan bersempena ‘wajah baru’ surau yang telah diubahsuai sepenuhnya. Surau baru ini turut dilengkapi dengan sistem audio yang canggih, paparan LCD, penghawa dingin selain dari persekitaran yang lebih bersih dan damai.Surau yang diberi nama As-Sakinah, yang bermaksud ketenangan amat sesuai dengan konsep surau baru kita ini.
Majlis telah dimulakan dengan solat Asar berjemaah berimamkan Ustaz Mohd Hafiz Fauzi dan disusuli dengan sesi taklimat ringkas berkenaan Majlis Khatam Al-Quran oleh pegawai dari Jabatan Syariah, Ustaz Mohd Azim Mohd Saufi. Alhamdulillah, Jabatan Syariah telah menerima penyertaan yang amat menggalakkan, melebihi dari bilangan 150 qari/qariah yang diperlukan sejak penyertaan dibuka pada 7 Januari lalu.