Program Lawatan ke Aquaria Bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Divisyen 4 (PPDK4)
Kuala Lumpur I 17 Jun 2014, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) terus melaksanakan tanggungjawab korporat (CR) pada hari ini dengan mengadakan program lawatan sambil belajar ke Aquaria, KLCC bersama para pelajar di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi yang disertai seramai 40 orang anak-anak istimewa berumur antara 7 hingga 18 tahun dan turut diiringi oleh 5 orang guru pengiring.
Tujuan utama penganjuran program lawatan ke Aquaria ini adalah untuk menceriakan golongan pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik selain menimba ilmu pengetahuan khususnya berkaitan hidupan dasar laut dengan program lawatan sambil belajar yang menyeronokkan. Walaupun kanak-kanak istimewa ini terdiri daripada golongan OKU, pendedahan dan pengalaman yang diperolehi di Aquaria ini turut memberikan mereka peluang sama rata seperti kanak-kanak normal yang lain, serta memberi mereka peluang untuk mengenali dunia di luar dengan lebih jelas.
Antara program yang diadakan bersama pelajar istimewa ini ialah sesi melihat penyelam terlatih memberi makan kepada ikan dengan lebih dekat, mengenali jenis-jenis ikan dengan lebih tepat dari seluruh dunia dan menjelajah kehidupan dasar laut bersama pegawai Aquaria yang dilantik.
Program yang dianjurkan ini adalah selaras dengan program CR Bank Muamalat yang bertemakan Memupuk Hubungan (Nurturing Relationship). Di bawah tema ini, pelbagai program dan aktiviti yang telah dianjurkan di mana ianya meliputi empat aspek iaitu pendidikan, alam sekitar, kebajikan dan juga persekitaran kerja. Bank Muamalat sentiasa komited dalam melaksanakan program dan aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan di antara Syarikat dan juga masyarakat. Bank Muamalat berpendapat, adalah penting bagi sesebuah organisasi mengamalkan konsep memberi semula kerana dalam masa yang sama, ia juga dapat memberi pendedahan serta pendidikan yang berguna kepada masyarakat seperti dalam aspek pendidikan dan juga kehidupan di dasar laut.
Selain perlu menumpukan kepada operasi harian syarikat dan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada para pengguna, Bank Muamalat akan terus melaksanakan program-program seperti ini dalam membina hubungan erat dengan masyarakat dan komuniti setempat seterusnya mewujudkan jaringan yang lebih baik kepada semua pihak.