Bank Muamalat Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Johor
Kuala Lumpur, 11 Januari 2024: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini menghulurkan kit bantuan makanan kepada komuniti yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku di negeri Johor.
Bantuan banjir ini diserahkan oleh Pengurus Wilayah Selatan Bank Muamalat, Mohd Zamri Pardi kepada 100 keluarga yang ditempatkan di tiga Pusat Penempatan Sementara (PPS) sekitar Johor iaitu di PPS Dewan Raya Kampung Makam, PPS SK Laksamana, Kota Kecil dan PPS SK Tun Dr Syed Nasir.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, misi bantuan banjir tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (“Corporate Social Responsibility, CSR”) Bank Muamalat.
“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam, Bank Muamalat sentiasa prihatin dan proaktif untuk menghulurkan bantuan serta sumbangan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan membantu komuniti yang terjejas selari dengan komitmen kami dalam membina ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ komuniti.
“Penganjuran CSR bagi membantu mangsa banjir ini juga sejajar dengan seruan kerajaan untuk menggalakkan sektor awam dan sektor swasta bekerjasama bagi meringankan beban kewangan dan emosi yang perlu dipikul oleh komuniti terjejas pasca bencana,” tambah Khairul.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di talian 03-2600 5500, atau kunjungi cawangan Bank Muamalat yang berhampiran.