ANNAPURNA BASE CAMP (ABC)
Syukur Alhamdulillah atas nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt, kami berenam diberikan peluang ke Annapurna Base Camp (ABC), Nepal. Peluang ini tidak pernah kami jangkakan dan langsung tidak terdetik di dalam hati kami bahawa kami berpeluang untuk ke ABC di bawah tajaan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB). Terima kasih di atas ruang dan peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan BMMB, terutamanya Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid, semua pihak yang bertungkus lumus, jawatankuasa Kelab Sukan dan Rekreasi (Sport Recreation Club (SRC), BMMB , seluruh ahli keluarga dan kakitangan BMMB atas sokongan moral yang diberikan. Sedikit coretan pengalaman yang kami kongsikan ini sebagai suatu kenangan terindah yang tidak akan kami lupakan. Berpeluang menjejakkan kami ke bumi Himalaya ini merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai. Terima kasih Ya Allah atas nikmat rezeki ini. Annapurna yang dalam bahasa Sanskrit bererti ‘Goddess of the Harvests’ mengambil nama daripada Gunung Annapurna, gunung ke-10 tertinggi di dunia.
Perjalanan kami bermula dari 7 April 2018 sehingga 18 April 2018. Persiapan barang-barangan ke ABC mula dibuat sedari awal lagi demi memastikan kelancaran perjalanan mendaki di ABC nanti. Perasaan teruja kerana akan bersama-sama lagenda Rock Tanah Air, Amy Search bersama-sama dengan isteri serta peminat beliau dari Malaysia dan Indonesia berjumlah 24 orang untuk meneroka bumi Himalaya ini mula dirasai. Perjalanan pendakian kami ini dikelolakan oleh Summit Attack Resources (SAR) yang diketuai oleh Pengarahnya, Saudara Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa (Loe) yang turut bekerjasama dengan Adventure White Himalaya Treks pvt.ltd. yang diketuai oleh Saudara Garnesh Neupane yang dibantu oleh Saudara Raj Neupane dan Saudara Jiban Neupane yang berpengkalan di Nepal.
7 APRIL 2018 (SABTU)
KUALA LUMPUR – KATHMANDU, NEPAL
Seramai 24 orang termasuk Amy Search bertolak menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) ke Kathmandu, Nepal pad jam 9.00 pagi. Setibanya di Kathmandu, kami disambut oleh Saudara Loe dan Saudara Garnesh dengan kalungan bunga. Kami kemudiannya bergerak ke Dream City Hotel yang berada di tengah-tengah bandar Kathmandu.
8 APRIL 2018 (AHAD)
KATHMANDU – POKHARA
Persiapan untuk kelengkapan saat akhir di buat di sini di mana Kathmandu merupakan sebuah bandar yang sangat kaya dengan barangan-barangan pendakian. Pada jam 9.30 malam, kami kemudiannya bertolak ke Pokhara dengan menaiki bus selama 7 jam sebelum tiba di Hotel Romantica pada jam 4.30 pagi.
9 APRIL 2018 (ISNIN)
POKHARA – SIWAI
Hari pendakian semakin hampir. Di Pokhara, kami berkumpul pada jam 8.00 pagi untuk mendengar taklimat dan nasihat yang berguna daripada Saudara Loe dan Saudara Garnesh. Dua orang peserta diberikan sebuah beg yang mempunyai berat maksima 20 kg untuk di bawa oleh seorang Porter. Porter adalah individu yang akan membantu membawa barangan pendaki disepanjang pendakian nanti. Sementara mengisi masa di Pokhara, kami sempat melawat International Mountain Museum, Pokhara dan juga bersiar-siar di bandar Pokhara. Kami kemudiannya menyiapkan kelengkapan barang-barangan penting yang perlu dibawa dan dimasukkan ke dalam beg yang akan dibawa oleh Porter.
10 APRIL 2018 (SELASA-HARI PERTAMA PENDAKIAN)
SIWAI – KYME – JHINUDANDA
Hari pendakian sudah tiba, kami menaiki bas selama 2 jam dari Pokhara menuju ke Siwai untuk memulakan pendakian. Setiap peserta sangat teruja untuk memulakan pendakian. Kami berhenti makan tengahari di Kyme. Hujan mengriringi pendakian kami sebelum kami berhenti di “check-point’’ pertama iaitu di Jhinudanda. Alhamdulillah, semua peserta selamat tiba di Jhinudanda yang berketinggian 1780 meter pada lewat petang. Di Jhinudanda, Saudara Ganesh mengingatkan kami untuk mempersiapkan diri untuk ke perjalanan pada keesokan harinya. Beliau mengingatkan semua peserta supaya memastikan segala kelengkapan peribadi dipersiapkan agar tidak menghadapi kesulitan jika cuaca bertambah buruk.
11 APRIL 2018 (RABU-HARI KEDUA PENDAKIAN)
JHINUDANDA – LOWER SINUWA – BAMBOO JUNGLE
Pendakian hari kedua kami diteruskan seawal jam 8.00 pagi. Hari yang paling mencabar dengan trek pendakian yang paling panjang, para peserta perlu memanjat ratusan anak tangga dalam pelbagai sudut, dari 45 darjah hingga ke sudut menegak 90 darjah. Mendaki anak tangga yang banyak itu memang menyiksakan. Namun apabila berjalan dan mendaki bersama rakan-rakan, ditambah pula terdapat hentian yang agak selesa untuk melepaskan lelah lima hingga 10 minit, kesukaran bagaikan tidak dirasa. Keindahan pemandangan gunung-ganang yang terbentang luas menyebabkan kami lupa akan cabaran tersebut.
Di sepanjang pendakian, kami dapat melihat suasana kehidupan masyarakat Nepal di pergunungan di mana terdapat jambatan yang menghubungkan sebuah kampung ke kampung yang lain. Masyarakat di sini menjalankan aktiviti pertanian dengan bercucuk tanam dan pelbagai aktiviti yang lain. Perasaan teruja kerana dapat bersua muka dan beramah mesra dengan masyarakat di sini dari pelbagai peringkat usia adalah sesuatu yang sangat membahagiakan. Kami berhenti makan tengahari di Lower Sinuwa sebelum meneruskan perjalanan ke “check-point’’ kedua di Bamboo Jungle. Hujan mula membasahi sepanjang perjalanan kami ke Bamboo Jungle. Walau bagaimanapun, pemandangan selepas hujan dengan udara berkabus sangat mempersonakan dengan suasana hutan yang dikelilingi dengan pokok-pokok buluh yang tumbuh subur. Kami selamat tiba di Bamboo Jungle yang berketinggian 2,400 meter.
12 APRIL 2018 (KHAMIS-HARI KETIGA)
BAMBOO JUNGLE – DOVAN – DEURALI
Pendakian hari Ketiga diteruskan dari Bamboo Jungle menghala ke Deurali. Ternyata telahan Saudara Ganesh benar-benar berlaku apabila hujan turun sepanjang 3 hari pendakian kami. Angin sejuk dan cabaran pendakian mula dirasai. Kami berhenti makan tengahari di Dovan sebelum meneruskan pendakian ke Deurali. Batu-batu besar dan bersaiz kecil terus diterokai dan pendakian pada hari ketiga sangat menguji ketahanan fizikal dan mental kami. Walau bagaimanapun, semangat berpasukan menjadi benteng kekuatan kami. Alhamdulillah, kami berjaya tiba di Deurali yang berketinggian 3,200 meter.
13 APRIL 2018 (JUMAAT-HARI KEEMPAT PENDAKIAN)
DEURALI – MACCHAPUCHERE BASE CAMP (MBC) – ANNAPURNA BASE CAMP (ABC)
Alhamdulillah, pendakian hari ke empat menandakan bahawa kami hampir menuju ke ABC. Perasaan kami sangat teruja melihat salji buat pertama kali sepanjang pendakian menuju ke “check-point” Macchapuchere Base Camp (MBC) yang berketinggian 3,700 meter menuju ke ABC. Walau bagaimanapun, ada juga kebimbangan diserang “Acute Mountain Sickness (AMS)’’ disebabkan cuaca yang terlalu sejuk. Kami mengambil langkah berhati-hati melintasi trek yang licin diselaputi salji dengan langkah yang semakin sukar dan perlahan. Dalam setiap langkah kami terpaksa menarik nafas dalam bagi mengelakkan diserang AMS disebabkan oleh kedudukan altitude tinggi dan oksigen yang semakin nipis. Salji terus turun tanpa henti dan suasana persekitaran pada masa itu kabur dan diliputi dengan salji.
Alhamdulillah, pendakian dapat disempurnakan dengan jayanya oleh semua peserta untuk tiba dipuncak ABC pada ketinggian 4,130 meter. Perasaan pada masa itu sukar untuk digambarkan. Masing-masing meluahkan rasa syukur dan menitiskan air mata kerana berjaya tiba di ABC. Meskipun terpaksa menempuh hujan salji dan cuaca sejuk melampau, keterujaan beberapa pendaki dengan salji yang memutih di kawasan rumah tumpangan kami menyebabkan ada yang mengambil kesempatan bergurau sesama sendiri dengan bermain salji sebelum suhu semakin menurun sebaik malam menjelma.
14 APRIL 2018 – 16 APRIL 2018
(SABTU, AHAD & ISNIN – HARI KELIMA, KEENAM & KETUJUH)
ANNAPURNA BASE CAMP (ABC) – BAMBOO JUNGLE – CHOMRONG – SIWAI – POKHARA
Alhamdulillah, proses pendakian ABC dilengkapkan dengan 3 hari perjalanan turun dari ABC ke Bamboo Jungle (14 April) kemudiannya ke Chomrong (15 April) dan ke “check-point’’ terakhir iaitu Siwai (16 April). Walaupun badan sudah keletihan setelah empat hari mendaki, namun semangat untuk menghabiskan pendakian tetap diteruskan. Kami bermalam di Bamboo Jungle sebelum meneruskan perjalanan ke Chomrong pada keesokan harinya. Segala penat lelah dilepaskan di sini dengan menghirup udara segar dan nyaman di Chomrong ini. Di sini, anak-anak kecil dibiarkan berdikari dan terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 10 kilometer setiap hari untuk ke sekolah yang terletak di Chomrong iaitu pada ketinggian kira-kira 2,000 meter dari paras laut. Pekan Chomrong boleh dikatakan pekan termaju di laluan pergunungan tersebut di mana terdapat sekolah, rumah tumpangan, kedai-kedai cenderahati dan juga akses Internet.
Semua peserta sempat bergurau senda di samping sesi “post-mortem” turut di adakan pada malam harinya. Masing-masing sangat berpuas hati dengan sesi pendakian ini. Amy Search turut menyampaikan beberapa buah lagu kepada semua peserta pendakian ini. Perjalanan kami pada keesokan harinya ditamatkan di Siwai dan semua peserta menaiki bus untuk menuju ke Pokhara. Semua peserta tiba di di Pokhara pada waktu malam dan mengambil kesempatan untuk menyiapkan segala kelengkapan untuk menuju ke Kathmandu pada keesokan harinya.
17 April 2018 (SELASA)
POKHARA – KATHMANDU
Perjalanan diteruskan ke Kathmandu dengan menaiki bas pada awalnya, namun di sebabkan bus yang dinaiki tersebut rosak selang 20 minit perjalanan, kami semua berpatah balik ke Bandar Pokhara dan menaiki van ke Kathmandu selama 7 jam. Jalan raya menuju ke Kathmandu agak sibuk dengan kenderaan dan van yang dipandu dibawa dengan cara yang agak menakutkan. Kami tiba di Kathmandu pada jam 7.30 malam dan terus hadir ke Majlis Penutup dan Penyerahan sijil di Restoren Anatolia, di Kathmandu pada jam 8.30 malam yang disempurnakan oleh wakil Duta Malaysia di Nepal. Alhamdulillah perasaan gembira mewarnai suasana pada ketika itu.
18 April 2018 (RABU)
KATHMANDU – KUALA LUMPUR
Alhamdulillah, penjelajahan kami tiba ke garisan akhir. Sebelum berangkat ke lapangan terbang, kami mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar Tahfiz di Masjid Jamek Nepali, Kathmandu yang berusia sekitar 7 hingga 12 tahun. Mereka kebanyakannya berasal dari keluarga miskin di sekitar Kathmandu dan kawasan berhampirannya. Kami kemudiaannya bergerak ke Lapangan Terbang Thribuvan pada jam 9.30 pagi dan menaiki pesawat MAS menuju ke Kuala Lumpur.
ABC..KENANGAN TERINDAH
Coretan pengalaman sepanjang pendakian ke ABC menjadi suatu sejarah yang sangat berharga buat kami. Perjalanan kehidupan masyarakat Nepal di pergunungan menjadi suatu pengajaran buat kami agar sentiasa menjadi manusia yang sentiasa berusaha dan bersyukur di atas nikmat kurniaan yang dikurniakan oleh Allah swt. Masyarakat Nepal mencari rezeki sebagai Porter, tidak kira lapisan umur, sanggup membawa beban berkilo-kilo beratnya, hanya menggunakan kudrat empat kerat, mendaki ribuan anak tangga, untuk berkhidmat kepada pendaki yang rata-ratanya warga asing.
Ada juga yang membawa barangan keperluan harian, bekalan makanan dan ternakan untuk dijual di kedai sepanjang laluan pendakian. Corak kehidupan masyarakat di sana juga jauh lebih sederhana. Salah seorang Porter kami, saudara Jiban, 24 tahun, yang fasih berbahasa Inggeris berkata kebanyakan Porter dibayar kira-kira RM50 sehari bagi mengikuti pendaki ke ABC dan umur Porter adalah dari remaja 15 tahun hingga umur 50 tahun. Agak pilu memerhatikan mereka ini terpaksa mengorbankan masa remaja mereka dengan pekerjaan yang sebegitu berat dan sentiasa berdepan risiko kemalangan setiap kali keluar untuk mencari rezeki.
Namun, meskipun kepenatan, jelas terlihat wajah keriangan dan kelegaan setiap kali mereka berjaya sampai dengan selamat di setiap check point dan masing-masing akan bersiul dengan lagu tradisional Nepal yang tidak asing lagi ‘Resham Firiri’. Lagu itu kemudiannya turut menjadi siulan penulis dan pendaki sehingga ke dalam pesawat sewaktu penerbangan pulang ke tanah air. Lagu tersebut turut bermain di fikiran kami sehingga kini.
Begitulah antara coretan pengalaman yang dapat kami kongsikan. Kami amat bersyukur di atas peluang dan rezeki yang diberikan. Perjalanan ini menjadi ibrah dan tauladan kepada kami di samping meningkatkan rasa syukur kepada Allah swt. Sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak di atas segala usaha dan peluang yang diberikan. Sesungguhnya pengalaman ini akan kami abadikan sebagai suatu kenangan yang cukup indah dan bersejarah buat kami.
Terima kasih,
Dari kami,
Mohd Nasir Saad,
Mohd Yuamrizaily Md Yusof ,
Kamarul Faiz Kamaruddin ,
Wan Hanan Hanim Wan Mohamad,
Siti Rodziyah Aziz,dan
Zamharizat Ibrahim