Sumbangan Van Jenazah
السَّلامُ عَلَيكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَتُهْ
Dan Salam Sejahtera, Segala puji bagi Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan seluruh ahli keluarga Baginda SAW. Marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita masih lagi dipanjangkan umur, diberikan kesihatan yang baik serta dimurahkan rezeki.
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) melalui Tabung Mawaddah (TM) telah melaksanakan satu lagi Tanggungjawab Sosial Korporat dengan menyumbangkan sebuah van jenazah kepada Surau Mutiara Damansara. Ianya bertujuan untuk membantu dan melancarkan proses pengurusan jenazah di kawasan surau tersebut. Ia juga merupakan salah satu ibadah fardu kifayah yang bukan sahaja digalakkan malah dituntut dalam agama kita.
Alhamdulillah, van jenazah ini telah diserahkan sendiri oleh salah seorang Ahli Lembaga Pengarah BMMB iaitu Encik Abdul Jabbar Abdul Majid kepada Pengerusi Surau Mutiara Damansara dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan pihak pengurusan Bank. Majlis ini telah disempurnakan di perkarangan surau Mutiara Damansara pada 16 Rabiul Akhir 1433H bersamaan 9hb Mac 2012 lalu.
Untuk makluman semua kakitangan, van jenazah ini juga boleh digunakan secara percuma sekiranya berlaku kematian ahli keluarga dan kos penggunaan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Bank. Segala urusan boleh berhubung melalui Saudara Roza Iskandar Zawawi di Jabatan Syariah. Dengan adanya kemudahan ini, diharap ia akan mengurangkan beban keluarga kakitangan dalam menyelesaikan hal-hal yang berkaitan dengan kematian.
Akhir kalam, semoga dengan adanya program seperti ini ia akan mewujudkan kesedaran kakitangan dalam memberikan sumbangan dan akhirnya membentuk masyarakat yang saling bantu membantu dan mengambil berat di antara satu sama lain. Semoga usaha kita ini mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah SWT. Insya Allah.
والسلام
Sekretariat Tabung Mawaddah
Jabatan Syariah