BMMB Menyumbang Van Jenazah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
Segala puji bagi Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan seluruh ahli keluarga Baginda SAW. Marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita masih lagi dipanjangkan umur, diberikan kesihatan yang baik serta dimurahkan rezeki.
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) melalui Tabung Mawaddah (TM) telah melaksanakan satu lagi Tanggungjawab Sosial Korporat dengan menyumbangkan sebuah van jenazah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ianya bertujuan untuk membantu melancarkan proses pengurusan dan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan khususnya untuk warga Shah Alam dan sekitarnya. Van Jenazah ini akan di selia oleh Unit Penyelenggaraan Tanah Perkuburan, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA. Perkhidmatan kenderaan ini juga disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapat perkhidmatan pengurusan jenazah.
Majlis penyerahan Van Jenazah ini telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Ybhg Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid kepada Ybhg. Dato’ Hj. Ahmad Zaharin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir bersama Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA serta wakil-wakil pihak Pengurusan BMMB pada 28 Januari 2015 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1436H.
Akhir kalam, semoga dengan adanya program seperti ini ia akan mewujudkan kesedaran kakitangan dalam memberikan sumbangan dan akhirnya membentuk masyarakat yang saling bantu membantu dan mengambil berat di antara satu sama lain. Semoga usaha kita ini mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah SWT. Insya Allah.

































