Majlis Berbuka Masjid Jamek Dan Perlancaran e-Derma
Bank Muamalat Melancarkan Kempen E-Derma Sambil Meraikan Anak-Anak Maahad Tahfiz Serta Golongan Kurang Bernasib Baik
Kuala Lumpur Khamis, 07 Jun 2018: Bagi mengimarahkan kehadiran bulan Ramadhan 1439 Hijrah, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan anak-anak Maahad Tahfiz dari Al Bayan School of Quran & Hadith serta golongan kurang bernasib baik (gelandangan).
Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Munir Abdul Majid, Pengerusi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, bersama-sama Y.Bhg. Dato’ Hj. Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Ahli Pengurusan Kanan dan kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad turut hadir bagi menyerikan majlis.
Program ini adalah inisiatif tahunan yang diadakan bertujuan untuk menyambut Ramadhan Al Mubarak dengan memberi sumbangan berupa beg dan duit raya untuk anak-anak Mahaad Tahfiz. Manakala,untuk golongan kurang bernasib baik (gelandangan) di sekitar kawasan Masjid Jamek, Kuala Lumpur pula diberi kain pelekat, baju untuk lelaki, kain batik dan baju untuk wanita. Duit dan kuih raya turut diberikan untuk setiap seorang.
Dalam majlis yang sama, Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Munir Abdul Majid turut melancarkan Kempen ‘eDerma’ dan memperkenalkan perincian terbaharu Aplikasi i-Muamalat iaitu ‘QR Pay’.Perincian terbaharu ini memudahkan ibadah menderma di Masjid menggunakan teknologi perbankan digital yang semakin popular di Malaysia. Ciri pembayaran menggunakan kod QR ini merupakan usaha murni Bank Muamalat kepada pelanggan mereka untuk memberi sumbangan kepada Masjid dan Surau terpilih bermula dengan Masjid Jamek dan seterusnya kepada lebih dari 250 Masjid terpilih seluruh Malaysia. Aplikasi ini membolehkan pelanggan yang mengunjungi Masjid terutamanya pada waktu Solat Jumaat untuk menderma terus menerus menerusi telefon pintar mereka tanpa menggunakan tunai.
Di beri nama “eDerma”, dengan slogan Ïbadah kini dipermudah dengan eDerma”, Aplikasi i-Muamalat ini boleh dimuat turun dari “Google Play Store” dan juga “Apple Store” dan pelanggan-pelanggan Bank Muamalat hanya perlu menggunakan kata nama dan kata laluan yang sama dengan perbankan internet untuk menggunakan “i-muamalat mobile”.