Close
EN
BM

Personal

Business

Corporate Responsibility

Community

Misi Dakwah, Kebajikan Dan Kemasyarakatan Bersama Yayasan Amal

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan izinNya, Bank Muamalat Malaysia Berhad telah diberi peluang untuk menyertai misi dakwah masyarakat Pagan di rumah panjang, Ulu Pakan, Sibu, Sarawak bersama-sama delegasi Yayasan Amal Malaysia bermula dari 19 hingga 21 Disember 2013.

Misi dakwah yang turut disertai oleh daie Pusat Dakwah Serantau (PDS) dan juga wakil-wakil NGO yang lain telah memberi kesedaran kepada kami betapa nikmat Iman dan Islam itu sangat bernilai dan nikmat itu harus disebarkan melalui usaha-usaha dakwah sebegini.

Hari pertama- 19 Disember 2013.

Delegasi BMMB tiba di Sibu, Sarawak pada jam 10.30 pagi dan meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Tetapi sebelum itu, kami dibawa singgah ke Masjid Babus Salam, Kampung Jeriah untuk menerima taklimat program dan upacara ringkas penyampaian elaun daie PDS.

Selesai upacara di Masjid Babus Salam, kami meneruskan perjalanan dakwah ini ke Rumah Panjang Julin yang mengambil masa lebih kurang 3 jam. Perjalanan kami ini diuji dengan pelbagai ujian di mana pada awal perjalanan lagi bas yang dinaiki mengalami kerosakan dan kami terpaksa menaiki bas yang lain. Setelah tiba di pekan Pakan, kami bergerak menggunakan pacuan 4 roda untuk meneruskan perjalanan yang sangat mencabar menuju ke Rumah Panjang Julin. Permukaan jalan tanah merah yang berbukit- bukit, tidak rata dan becak benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental.

Ketibaan kami disambut baik oleh penghuni Rumah Panjang Julin. Setelah menunaikan solat Maghrib dan Isya’ secara berjemaah, kami meneruskan program dengan majlis ramah mesra dan suai kenal. Di dalam majlis itu, Tuai Rumah iaitu Tuai Zulqarnain Julin menceritakan pengalamannya yang telah memeluk Islam selama 2 tahun. Usai majlis tersebut, kami merehatkan diri dan menginap di rumah panjang itu

Hari Kedua- 20 Disember 2013

Hari kedua perjalanan dakwah ini dimulakan dengan solat Subuh berjemaah. Usai solat, para daie daripada PDS berkongsi pengalaman sepanjang menjadi penuntut di PDS dan juga pengalaman menyebarkan dakwah Islamiyyah di kampung masing-masing.

Selepas sarapan pagi, sebahagian daripada kami meneruskan aktiviti gotong-royong membina tangga surau dan sebahagian yang lain meneruskan aktiviti dakwah ke rumah panjang yang lain.

Misi perjalanan dakwah pada hari itu bermula di rumah panjang Entinggi apabila seramai 4 orang memeluk Islam.

Tidak terhenti di situ, kami meneruskan perjalanan dengan pacuan 4 roda meredah laluan balak dan merentas sungai yang teramat mencabar sehingga hampir satu jam setengah, akhirnya kami tiba di rumah panjang Lidam. Rumah panjang Lidam ini antara rumah panjang yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional rumah panjang dan sangat unik. Kami sempat beramah mesra dan menyantuni ibu-ibu, anak-anak dan orang-orang tua di sana. Sibuk dengan kekangan masa dan program lain, kami berlepas pulang.

Kami selamat tiba di rumah panjang Julin tempat kami menginap. Belum sempat duduk, salah seorang ahli rumah panjang Lidam bernama Jumao sampai dan menyatakan keinginannya untuk memeluk Islam. Oleh kerana tidak sempat untuk berjumpa kami di rumah panjang Lidam kerana sibuk di kebun, beliau terus bergegas mengejar dan bertemu kami di rumah Julin. Usai upacara pengIslamannya, beliau menyatakan seluruh ahli keluarganya termasuk isteri dan anak-anaknya seramai 6 orang ingin memeluk Islam lantas minta kami datang selepas maghrib kerana ketika itu ahli rumah panjang sudah pulang semuanya.

Setelah selesai majlis pengIslaman, majlis perasmian sumber aliran air diadakan. Kos-kos untuk mendapatkan air bersih dan kelengkapan ini disumbangkan oleh Tabung Mawaddah (TM). Dengan adanya sumber air ini, akan membantu bukan sahaja penduduk Rumah panjang Julin, bahkan dapat membantu penduduk sekitar bagi mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian. Dua (2) lagi sistem bekalan air bersih sedang diusahakan di rumah panjang Entingit dan rumah panjang Azhar. Kos bagi setiap satu sistem dianggarkan bernilai RM7,000 hingga RM10,000.

Oleh kerana hujan dan keadaan jalan yang sangat becak dan teruk. Kami sampai sekitar jam 9.30 malam. Seluruh ahli rumah panjang sudah tidur tetapi beberapa keluarga masih setia menunggu kami. Berbekalkan lampu minyak tanah kami memandang wajah mereka dengan penuh senyuman. Kami bergurau senda dengan anak-anak mereka. Kami santuni orang-orang tua dan ayah ibu. Hampir 30 orang yang menyambut dan meraikan kami dengan penuh mesra. Sempat dalam gurauan dan kemesraan kami, kami terangkan tentang Allah, Nabi Muhammad dan Islam. Akhirnya kami bertanya “siapa yang nak masuk Islam”. Betapa terkejutnya saya apabila seramai 27 orang mengangkat tangannya termasuk kanak-kanak dan orang tua. Asalnya hanya 6 orang tetapi dengan kuasa Allah bertukar menjadi 27 orang. Kami terangkan tuntutan asas dalam Islam. Semuanya bersemangat!! Alhamdulillah. Tepat jam 11.00 malam laungan agung “Aku bersaksi nadai Petara bukai ti disembah semina Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad nya’ pesuruh Allah” bergema di tengah-tengah hutan Pakan. Ahli-ahli rombongan masing-masing menangis melihat kebesaran Allah. Satu perasaan yang tak dapat digambarkan apabila melihat mereka melafaz syahadah dan berdoa dengan mata terpejam rapat sehingga berkerut dahi kerana menghayati lafaz agung dan doa kepada Allah hatta kanak-kanak sekalipun. Selesai pengIslaman, kami peluk mereka erat-erat. Sesungguhnya ikatan saudara seIslam ini jauh lebih mulia dari ikatan-ikatan yang lain. Kalau nak diceritakan, terlalu banyak kisah-kisah menarik.

Hari Ketiga- 21 Disember 2013

Hari ini merupakan hari terakhir kami berada di Rumah Panjang Julin. Selesai solat subuh secara berjemaah, diadakan sesi muhasabah program yang dihoskan oleh wakil dari Yayasan Amal Malaysia. Sesi ini bertujuan bagi mendengar pendapat daripada ahli rombongan bagi memberikan penambahbaikan di dalam misi-misi yang akan datang. Banyak pendapat dan pandangan yang diberikan dan tidak kurang juga ada dikalangan ahli rombongan yang menceritakan perasaan pertama kali terlibat dengan program sebegini. Ada dikalangan mereka yang tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata apabila menceritakan pengalaman melihat sendiri proses pengIslaman masyarakat di rumah panjang terlibat.

Selesai sesi muhasabah, majlis perasmian Surau Rumah Panjang Julin diadakan. Ianya disempurnakan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Nawas, Setiausaha Agung, Pusat Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia (Darus Syifa). Surau ini telah berjaya disiapkan hasil sumbangan daripada Darus Syifa’ dan digunakan sebagai tempat ibadah oleh masyarakat muslim setempat.

Sesi muhasabah dan perasmian surau ini selesai pada pukul 10 pagi dan diteruskan dengan sarapan pagi bersama dengan penduduk rumah Panjang Julin. Teh Tarik dan cucur ‘sosej ayam’, itulah menu sarapan yang disediakan oleh tukang masak rombongan. Sambil menjamu selera, ada yang mengambil peluang bertukar-tukar nombor telefon bimbit bagi tujuan perhubungan setelah pulang ke Semenanjung nanti. Sebelum meninggalkan rumah panjang tersebut, selawat telah berkemundang bagi mengiringi majlis bersalam-salaman diantara penduduk rumah panjang Julin dan rombongan Yayasan Amal Malaysia.

Bagi rombongan BMMB, kami singgah seketika ke Rumah Panjang Azhar untuk makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Pekan Pakan manakala rombongan Yayasan Amal yang lain, akan bermalam di Rumah Panjang Azhar. Perasaan sedih mula terasa apabila kereta yang kami naiki mula bergerak meninggalkan Rumah Panjang Julin. Di sini, banyak mengajar kami erti muslim yang sejati.

Perjalanan ke rumah panjang Azhar mengambil masa sejam. Sekali lagi kami akan mengharungi perjalanan di jalan tanah merah. Mungkin keadaan jalan lebih baik berbanding perjalanan ke Rumah Panjang Julin, akan tetapi, cabarannya tetap ada. Untuk ke Rumah Panjang Azhar, kami terpaksa mendaki tiga bukit. Keadaan jalan yang licin disebabkan hujan dimalam hari menyukarkan lagi perjalanan kami. Kami ber’konvoi’ dengan tiga buah pacuan empat roda yang terdiri daripada Mitusbihi Triton, Mitsubishi Pajero dan Toyota Hilux. Apabila tiba di bukit yang pertama, Mitsubishi Pajero yang membawa rombongan tidak dapat meneruskan perjalanan kerana permukaan jalan yang licin dan keadaan tayar yang tidak dapat mencengkam dengan baik. Ahli rombongan yang berada di dalam kenderaan tersebut terpaksa membatalkan niat untuk meneruskan perjalanan ke Rumah Panjang Azhar dan meneruskan perjalanan ke Pekan Pakan.

Pendakian bermula. Kedua-dua kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki selamat tiba di rumah Panjang Azhar walaupun mengalami kesukaran untuk mendaki. Kami disambut dengan paluan kompang dan diiringi tarian ngajat yang dipersembahkan oleh penduduk di situ. Setiap dari kami dipakaikan riben. Terasa seperti tetamu VVIP yang ditunggu. Kedatangan kami juga disambut dengan pintu gerbang yang sungguh cantik. Kami dimaklumkan bahawa, pintu gerbang sebegitu tidak akan dibuat kecuali di musim perayaan dan hari-hari yang istimewa sahaja.

Besembang sambil minum teh, itulah perkara pertama yang kami buat sebelum dihidangkan dengan nasi putih dan ayam kampung yang dimasak di dalam buluh. Berselera rasanya makan tengah hari ini. Selain kami, penduduk rumah panjang juga turut bersama kami menjamu selera. Selesai makan, sesi bergambar beramai-ramai sebelum bergerak pulang ke Pekan Pakan. Bertolak dari Rumah Panjang Azhar pada jam 1245 tengah hari menuju ke Pakan. Bas yang akan membawa kami ke lapangan terbang telah pun ada dan menunggu ketibaan kami.

Perjalanan yang memakan masa 2 jam dari Pakan ke Lapangan terbang Sibu tidak dirasai dek kerana terlalu penat. Tiba di lapangan terbang, ada yang ke Surau dan ada yang menguruskan bagasi. Penerbangan yang dijadualkan 520 petang setakat ini tiada tanda-tanda akan lewat.

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 720 malam. Di sini, ahli rombongan mula bersalaman tanda akan berpisah dan membawa haluan masing-masing. Kenangan dan pengalaman tiga hari bersama rombongan pasti tidak akan dapat dilupakan

Chat with us on
WhatsApp
AUSTRALIAN DOLLARAUD2.7980002.6450002.629000
BRUNEI DOLLARBND3.3920003.1960003.185000
CANADIAN DOLLARCAD3.1130003.0030002.986000
SWISS FRANCCHF5.2530005.0260005.008000
EURO EUR4.9610004.6870004.665000
STERLING POUNDGBP5.8490005.5910005.582000
NEW ZEALAND DOLLARNZD2.6520002.4630002.448000
SINGAPORE DOLLARSGD3.3920003.1960003.195000
UNITED STATES DOLLARUSD4.3450004.1120004.095000

2025-05-30 08:22:09