Program Amal Masih Ada Yang Sayang (MAYS) 2013 Kawasan Sarawak
Sekolah Kebangsaan Semerah Padi, Kuching, Sarawak
15 Mac 2013 / 3 Jamadil Akhir 1434H
Program ‘Masih Ada Yang Sayang (MAYS)’ adalah program yang dianjurkan oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad melalui Tabung Mawaddah pada setiap tahun untuk membantu insan-insan yang kurang bernasib baik dan tergolong didalam Asnaf yang lapan iaitu Fakir, Miskin, Muallaf, Orang yang berhutang,Fisabilillah, Musafir, Hamba dan Amil.
Pada setiap tahun pejabat kawasan telah diberi peluang untuk menganjurkan program tersebut. Bagi Kawasan Malaysia Timur, cawangan yang bertanggungjawab untuk merealisasikan program MAYS ini adalah Cawangan Kuching. Program yang dilaksanakan pada kali ini adalah penyerahan sumbangan wang tunai dan barangan sekolah kepada pelajar-pelajar miskin serta sumbangan kepada Maahad Tahfiz. Pada kali ini pihak Bank telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Semerah Padi, Kuching.
Semua penerima-penerima sumbangan ini kebanyakkannya berasal daripada Daerah Kuching sendiri dan pemilihan mereka ini adalah berdasarkan kepada tahap kehidupan dan kemiskinan mereka yang terlalu daif.
PROGRAM DI SEKOLAH KEBANGSAAN SEMERAH PADI
Pada jam 2.30 petang, semua tetamu tiba setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Kuching, Sarawak.
Pada jam 2.45 petang, ketibaan tetamu kehormat dari Ahli Lembaga Pengarah iaitu Tuan Hj Abdul Jabbar Abdul Majid (Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Audit), Dato’ Azmi Abdullah, Dato’ Hj Kamil Khalid Ariff dan Tuan Hj Ismail Ibrahim diiringi oleh En. Musa Abd Malek, En. Mohd Asri Awang, Tn. Hj. PeerMohamed Ibramsha, Pn. Nora Shiken Ramli, En. Hafni Mohd Said, En. Shamsudin Bahari, Pn. Noor Azean Abd Aziz, En. Azman Manap (Pengurus Pejabat Kawasan Malaysia Timur) serta En. Sudaryo Hj Osman (Pengurus Cawangan Kuching).
Pada jam 3.00 petang, program dimulakan dengan bacaan Doa oleh wakil dari pihak sekolah. Selepas itu, program diteruskan dengan ucapan pembukaan dari Encik Sabini Hj Bisuni, Yang Dipertua PIBG SK Semerah Padi. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Bank yang berusaha memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan terutamanya di Negeri Sarawak.
Kemudian acara diteruskan dengan ucapan dari Encik Azman Manap, Pengurus Wilayah Malaysia Timur di mana beliau di dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah yang sudi bekerjasama dengan pihak Bank untuk menjayakan program MAYS ini. Setelah itu bermulalah upacara penyampaian sumbangan kepada murid-murid SK Semerah Padi dan Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah. Sumbangan telah disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Azmi Abdullah diiringi oleh Encik Musa Abd. Malek dan Encik Sabini Hj Bisuni.
Murid-murid SK Semerah Padi telah menerima sumbangan wang tunai dan barangan sekolah manakala Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM10,000.
Program Masih Ada Yang Sayang kali ini telah dapat berjaya dilaksanakan dan telah memberi satu pengalaman yang bermakna kepada semua pihak yang terlibat. Kesemua penerima amat bersyukur ke hadrat Ilahi di atas peranan Bank dalam membantu insan-insan yang memerlukan di Sarawak. Semoga usaha kita yang sedikit ini mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt.
Sekretariat Tabung Mawaddah
Jabatan Syariah















































