Program Bank Muamalat Malaysia Berhad Bersama Anak-Anak Istimewa- Menonton Wayang “Bola Kampung The Movie”
Keistimewaan anak Sindrom Down tidak boleh dinafikan kerana mereka sentiasa mendapat perhatian, terutama dibidang perubatan dunia yang tidak jemu mencari rawatan terbaru untuk meningkatkan keupayaan serta memberi ciri tersendiri kepada setiap individu. Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini haruslah punyai kesabaran yang tinggi dengan kerenah dan keletah serta bertanggungjawab memberi pendidikan sebaik mungkin bagi membolehkan mereka berdikari.
Secara umumnya semua individu Sindrom Down di seluruh dunia mempunyai ciri dan iras wajah sama. Mereka juga menghadapi pelbagai masalah perkembangan otak dan fizikal yang lebih lambat berbanding kanak-kanak lain serta sikap mereka lebih manja dan inginkan lebih perhatian walaupun telah meningkat usia.
Keperihatian pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi tanggungjawab sosial telah menjayakan satu program menonton wayang “Bola Kampung The Movie”, pada 3 Mac 2013, bertempat di Golden Screen Cinema, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Program ini bermula sekitar jam 3 petang dengan dihadiri seramai 50 orang anak-anak istimewa dari Rumah Anak-Anak Istimewa PDK4 Divisyen, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur. Dari raut wajah mereka terpancar satu kegembiraan sebagai kenangan manis serta pengalaman yang sukar diterjemahkan dari kata-kata.
Semoga program seumpama ini akan diteruskan setiap tahun sebagai satu daripada tanggungjawab sosial bagi setiap organisasi kerajaan dan swasta di Malaysia bagi mereka yang memerlukan.
InsyaAllah…


































